[VIDEO] Kanak-kanak derita penyakit 'kepala besar' maut kemalangan lepas ziarah kubur abang


  • 112
  • Selasa, 28 Nov 2023

Nor Rahil Raihan meninggal dunia pada tarikh yang sama abangnya meninggal dunia pada tahun lalu akibat penyakit sawan. — Facebook/ PencintaBerduriAishah

KANAK-KANAK yang menghidap penyakit lebihan cecair dalam otak atau hidrosefalus meninggal dunia akibat cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bersama ibu dan abangnya terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Selar Taman Ilham dekat Kluang, Johor pada Isnin.

Nor Rahil Raihan, 5 tahun disahkan maut pada pukul 10 malam Isnin ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam kemalangan itu, Naza Ria dipandu ibu mangsa dari arah Kampung Paya ke arah Taman Ilham, disyaki hilang kawalan.

"Naza Ria itu melanggar bahagian tepi Proton Wira yang sedang diparkir di lokasi kejadian.

"Pemandu Naza Ria, Aishah Mohd Saleh, 34 tahun, dan anak lelaki, Nor Izzul Islam Mohd Shahrul, 8 tahun, yang juga penumpang hadapan kenderaan itu, cedera.

"Nor Rahil Raihan pula mengalami pendarahan kronik dan kecederaan abdomen dalaman sebelum disahkan maut.

"Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun, bagaimanapun selamat. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya memetik laporan media tempatan.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial Facebook, Mastura Mohamad berkongsi satu video memaparkan kanak-kanak istimewa tersebut menziarahi kubur arwah sehari sebelum kemalangan itu berlaku.

"Semalam (Ahad) Rahil datang rumah abang (kubur). Hari ini (Isnin) Rahil ikut sama-sama jumpa abang di syurga. Mohon kawan-kawan doakan sahabat saya Pencinta Berduri Aishah sedar dan sembuh seperti sediakala. Mereka baru terlibat kemalangan. Seorang ibu yang kuat semangat walau hebat diuji. Innalillahiwainnailaihirojiun Rahil Raihan," tulisnya.

Melalui perkongsian itu, difahamkan Nor Rahil Raiham meninggal dunia pada tarikh yang sama abangnya meninggal dunia pada tahun lalu akibat penyakit sawan.

Sebelum ini, kisah kanak kanak OKU berkenaan yang menghidap hidrosefalus, buah pinggang rosak serta pendarahan dalam perut mendapat liputan luas media.

Penyakit yang dideritai mangsa sejak lahir itu menyebabkannya dia memiliki kepala yang besar.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram