KEMATIAN kanak-kanak lelaki, Muhammad Danish Mohd Faizal yang lemas di Jalan Bukit Baru, Bukit Palah, Melaka pada Sabtu sememangnya meruntun hati masyarakat pada ketika ini.
Masakan tidak, sebelum kejadian tersebut orang awam sempat merakam video budak lelaki malang berusia dua tahun itu bermain air hujan tidak jauh daripada tempat ibu bapanya meniaga.
Siapa sangka dalam senyum tawa kanak-kanak tersebut, itulah video terakhir yang hanya menjadi kenangan buat keluarganya selepas jasad Muhammad Danish ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi asal dia terjatuh.
Mangsa, Muhammad Danish terjatuh dalam longkang sedalam satu meter di sebuah parit berdekatan kawasan kejadian pada pukul 3.30 petang Sabtu dan ditemukan sehari selepas kejadian.
Namun kejadian malang itu bukanlah kali pertama berlaku, sebaliknya terdapat beberapa insiden yang hampir sama dilaporkan sebelum ini.
Berikut tiga kes tragedi lemas melibatkan kanak-kanak yang mendapat liputan luas media.
1. Korban pertama banjir Terengganu 2022
Nur Hilwa Idris dilaporkan lemas selepas terjatuh melalui pintu dapur rumahnya yang dinaiki air sebelum dihanyutkan arus deras.
Nur Hilwa Idris Mohd. Haris Zaifan merupakan korban pertama banjir di Terengganu setelah ditemukan lemas di Kampung Apal, Jerteh, Besut pada 18 Disember lalu.
Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan ahli keluarga terapung di dalam longkang berhampiran rumah ibu saudaranya pada pukul 3.40 petang pada hari kejadian.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sewaktu kejadian, kanak-kanak perempuan itu berada di rumah ibu saudaranya yang terjejas banjir.
Beliau berkata, sebelum kejadian, ibu saudara mangsa sedang berkemas untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada pukul 3 petang.
“Dia tidak menyedari kanak-kanak tersebut dipercayai keluar melalui pintu dapur. Mangsa dipercayai terjatuh sebelum dihanyutkan arus banjir.
“Kehilangannya hanya disedari kira-kira 40 minit kemudian. Orang kampung menjumpai mayat mangsa terapung di dalam parit berkenaan terletak kira-kira 20 meter dari rumah ibu saudaranya,” katanya dalam satu kenyataan.
2. Budak tiga tahun lemas terjatuh dalam tali air
Kredit video IG @jentikhati
Muhammad Sufi Eijas Mohd Sobrey lemas selepas dipercayai tergelincir dari jambatan di tali air dalam kejadian di Kampung Kebor Besar, Manir dekat Kuala Tetengganu, Terengganu pada 12 Disember tahun lalu.
Mayatnya ditemui sehari kemudian dalam 500 meter dari lokasi kejadian. Lebih menyedihkan lagi, bapa mangsa, Mohd. Sobrey Ramli sempat merakam video anaknya itu tersebut bermain bersama adik dan abangnya sebelum dia terjatuh dalam tali air berkenaan.
Kejadian itu turut meruntun jiwa warga maya selepas tular satu video memaparkan Mohd. Sobrey tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat pasukan bomba membawa jasad anaknya naik ke darat.
3. Budak tergelincir dalam longkang dan hanyut dibawa arus
Suasana pilu menyelubungi anggota keluarga apabila mayat mangsa dikenali sebagai Siti Aishah ditemui kira-kira 15 meter dari lokasi dia terjatuh.
Kehilangan Siti Aishah Supardi yang hanyut selepas terjatuh ke dalam longkang pada 27 September 2021 terungkai selepas mayatnya ditemukan di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 dekat Shah Alam, Selangor sehari selepas kejadian.
Mangsa dikatakan tergelincir dalam longkang dan hanyut dibawa air deras ketika kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata mangsa yang berumur lapan tahun ditemui orang kampung di dasar longkang pukul 8.42 pagi.
"Mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira 15 meter dari lokasi dia terjatuh dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram