Kerajaan tak bercadang laksana GST, tegas Ahmad Maslan


  • Primer
  • Selasa, 28 Nov 2023

Kerajaan tidak bercadang akan melaksanakan GST kerana ingin lebih menumpukan kepada subsidi bersasar. — Gambar hiasan

KERAJAAN tidak merancang untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2023 dan 2024 memandangkan ingin menumpukan kepada subsidi bersasar terlebih dahulu, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan cukai yang diumumkan mengikut Belanjawan 2024.

"Ya, terpaksalah untuk kita mencari pendapatan. Maka cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dinaikkan daripada enam kepada lapan peratus. Kalau tidak, bagaimana kita ingin mencari pendapatan?.

"Satu lagi, oleh kerana kita nak laksanakan subsidi bersasar, kita akan laksanakan dengan diesel dahulu dan selepas itu RON 95. Oleh kerana kita mengadakan perkara yang berkaitan subsidi bersasar, maka kita menangguhkanlah pelaksanaan GST,” katanya pada persidangan Dewan Negara, Kuala Lumpur pada Selasa.

photo_6280378755813849244_y

Ahmad Maslan ketika pembentangan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Sivaraj Chandran mengenai rancangan pelaksanaan GST dan mencadangkan agar ia dikembalikan namun pada kadar lebih rendah berbanding enam peratus sebelum ini.

Ahmad berkata, beliau juga tidak pasti atau mengetahui tempoh GST akan dilaksanakan di Malaysia walaupun 90 peratus negara di dunia sudah melaksanakannya.

"Tentu mereka ada Kementerian Kewangan, tentu mereka ada bank pusat, tentu mereka ada pakar-pakar ekonomi dan keseluruhan mereka menyatakan GST lebih baik daripada SST. Hanya Malaysia yang terbalik pemikirannya,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan melaksanakan GST pada enam peratus (berkuat kuasa April 2015, sebelum menamatkannya pada 2018) dan bukannya tiga peratus ketika itu. Ini kerana jika dikenakan pada tiga peratus, maka tiada tambahan hasil cukai yang boleh diperoleh kerajaan.

"Malaysia sahaja satu-satu negara yang sudah laksanakan (GST) dan kemudian tarik balik. Ini semua sebab politik sebenarnya, bukan sebab ekonomi. Sebelum kita buat GST, kita telah melaksanakan SST, kebaikan GST hanya satu cukai, SST dua cukai,” katanya.

Beliau berkata, antara kebaikan GST adalah dapat mengurangkan ekonomi bayangan dan sebelum GST dilaksanakan, 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah ekonomi gelap atau ekonomi bayangan.

"Bila kita laksana GST dua, tiga tahun itu keadaan ini dapat dikurangkan sebanyak 10 peratus, menyebabkan negara untung (meraih hasil) dan ekonomi bayangan tinggal 20 peratus walaupun sepatutnya kurang daripada itu lagi kalau kita melaksanakannya secara berterusan.

"GST bukan bersifat cukai atas cukai," katanya.

Beliau berkata, GST juga mengurangkan kos perniagaan kerana terdapat elemen pembayaran balik cukai iaitu pemulangan cukai input kepada syarikat dan pengilang, selain GST tidak dikenakan terhadap eksport.

"Ia adalah cukai progresif, maksud cukai progresif ini, lebih banyak kita berbelanja, lebih banyak wang kita ada, lebih banyak cukai kita bayar.

"GST ada dua kadar iaitu berkadar sifar dan enam peratus. Oleh kerana ada elemen berkadar sifar, GST boleh membantu rakyat contohnya makanan segar, makanan keperluan rakyat tidak dikenakan GST berbanding SST sekarang, banyak yang dikenakan. Rumusannya, GST jauh lebih baik daripada SST,” katanya lagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram