[VIDEO] YB Klang tak puas hati, penjenayah kantoi curi kabel lampu MPK pagi-pagi buta


  • Tular
  • Isnin, 27 Nov 2023

Tangkap layar kejadian seorang lelaki disyaki melakukan kecurian kabel lampu milik MPK Pelabuhan Klang pada awal pagi Isnin.

SEORANG lelaki disyaki mencuri kabel lampu awam milik Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang terjadi berhampiran sebuah stesen minyak di Kota Pendamar, Pelabuhan Klang, Selangor pukul 1.30 pagi Isnin.

Kejadian itu didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri yang berang dan kecewa apabila masalah kecurian dan vandalism di Pelabuhan Klang semakin tidak terkawal.

"Sampai bila pun masalah kecurian kabel dan vandalisme harta awam di Pelabuhan Klang ini tidak akan selesai disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab seperti ini masih wujud.

"Mereka ini memang spesis yang suka menyusahkan orang, b*ng*ng tidak habis-habis," tulisnya.

WhatsApp Image 2023-11-27 at 2.05.07 PM

Salah satu bukti kecurian kabel yang terjadi pada pukul 1.30 pagi Isnin.

Dalam pada itu, dia turut menyeru pihak berkuasa Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor (JKR) dan Cawangan Kejuruteraan Elektrik untuk mengetengahkan masalah kecurian kabel di kawasan berkenaan.

Azmizam turut menegaskan kepada warga tempatan agar bertindak melaporkan kejadian sebegitu kepada pihak berkuasa jika melihat kejadian yang mencurigakan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penduduk di kawasan berkenaan turut hampa apabila kes itu kerap terjadi.

"Sampai bila?" tulis Miswan Buang.

"Alamak laluan belakang rumah saya ni Yang Berhormat, bahaya kalau macam ini," tulis Kasih Maz Abadi.

"Tak pula hangus kena elektrik," tulis Tiang Jawi.

Belum ada kenyataan daripada MPK, JKR Selangor dan pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram