[VIDEO] Siap bawa laptop godam sistem, 2 penjenayah curi kereta mewah tanpa kunci


  • Benua
  • Isnin, 27 Nov 2023

Tangkap layar kejadian dua lelaki mencuri kereta jenis BMW x6 dengan menggunakan sistem tanpa kunci di luar negara baru-baru ini.

TULAR aksi dua lelaki melakukan kecurian kereta jenis BMW x6 yang menggunakan sistem kemasukan tanpa kunci (keyless entry system) yang dipercayai terjadi berlaku di luar negara baru-baru ini.

Namun, setakat berita ini ditulis, lokasi kejadian jenayah itu tidak dapat dipastikan.

Rakaman yang tular sejak Isnin itu menunjukkan dua suspek datang ke kawasan perumahan terbabit dengan membawa sebuah komputer riba.

Dalam pada itu, seorang suspek menuju ke hadapan rumah pemilik kenderaan bagi menggodam maklumat manakala seorang suspek lagi menunggu di pintu kereta terbabit untuk membukanya.

Rakaman menunjukkan, suspek berdiri di hadapan rumah berkenaan untuk mengakses perisian berkaitan di komputer yang dibawanya bagi membolehkan penggodaman sistem dilakukan.

Pencuri didakwa menggunakan teknik serangan geganti (relay attack), iaitu memintas gelombang radio kunci pintar untuk melarikan kereta tersebut.

Seorang pengguna media sosial, @Dagnum PI berkata, penjenayah berjaya memintas keselamatan kemasukan akses ke kenderaan tanpa kunci dengan memanjangkan isyarat kunci kereta dari rumah.

Bagi kebanyakan jenis kenderaan, isyarat kunci kereta adalah mudah dipanjangkan meskipun kunci disimpan dengan selamat oleh pemilik kenderaan.

Kedua suspek dilihat berjaya membawa lari kereta mewah tersebut dalam tempoh 30 saat sebelum bergegas meninggalkan kawasan berkenaan.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian dan lokasi juga tidak dapat dipastikan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram