[VIDEO] Ajal dirempuh kereta ketika bersarapan beramai-ramai kat kedai makan di Bahau


  • Massa
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Tangkap layar rakaman video tular sebuah kereta merempuh sebuah kedai makan hingga menyebabkan seorang warga emas maut dalam kejadian di Taman Meranti, Bahau, Jempol pada Jumaat.

MALANG tidak berbau, hanya itulah peribahasa yang mampu menggambarkan situasi seorang wanita warga emas maut ketika sedang menikmati sarapan di sebuah kedai makan di Bahau, Jempol, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 pagi selepas lelaki warga emas berusia 78 tahun secara tidak sengaja menekan pedal minyak ketika di ruang parkir di hadapan kedai makan di Taman Meranti, Bahau.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kereta berkenaan merempuh dua pelanggan yang sedang makan di kedai terbabit, menyebabkan seorang daripadanya, Tan Joo Lan, 75, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada leher.

"Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 35 tahun mengalami sakit pada belakang badan dan menerima rawatan di Hospital Jempol," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Chang Hook berkata, pemandu kereta itu kemudian ditahan untuk tujuan siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram