[VIDEO] Hilang di Shah Alam, kereta Honda City kena rembat depan mata ditemui di Kedah


  • 112
  • Jumaat, 24 Nov 2023

Tangkap layar CCTV memaparkan kereta Honda City Hatchback yang dilarikan seorang lelaki pada Isnin sebelum berjaya dijumpai di Kedah pada Khamis.

SEORANG lelaki yang tular melarikan kereta jenis Honda City Hatchback di sebuah premis mencuci kereta di Shah Alam, Selangor berjaya dicekup polis di Kedah pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tangkapan lelaki berumur 26 tahun itu dilakukan selepas menerima laporan daripada mangsa yang juga pemilik kereta berkenaan pukul 9.30 malam pada Isnin.

Katanya, siasatan mendapati pengadu telah menyerahkan kunci keretanya kepada suspek yang disangka salah seorang pekerja di kedai tersebut sebelum keretanya dilarikan.

"Bertindak atas maklumat, pada Khamis, pukul 6.10 pagi, suspek telah ditahan di Pokok Sena, Kedah. Turut dirampas kereta yang dilarikan oleh suspek.

"Siasatan mendapati suspek seorang lelaki yang tidak bekerja dan mempunyai dua rekod lampau kes dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis methampethamine. Suspek akan direman pada Jumaat, pukul 10.00 pagi di Makamah Shah Alam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun jika disabitkan dengan kesalahan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Naqiuddin Bin Nawawi di talian 012-3848103 atau balai polis berdekatan bagi tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram