[VIDEO] Menyamar jadi orang susah minta bantuan masjid di Ipoh, tapi licik curi telefon muazzin


  • Tular
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Tangkap layar kejadian seorang lelaki mencuri telefon bimbit pekerja di pejabat pentadbiran Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh pada Khamis.

PIHAK Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, Perak membuat laporan polis berhubung kes kecurian yang berlaku di premis itu pada Khamis.

Rakaman kejadian itu turut disiarkan pihak masjid dengan harapan orang ramai dapat membantu mengesan suspek yang didakwa mencuri telefon bimbit milik ahli jawatankuasa masjid tersebut.

Menurut pihak masjid, kejadian itu berlaku pukul 12.57 tengah hari pada Khamis apabila suspek yang dikenali sebagai Shaharani Sharuddin datang ke pejabat berkenaan, dipercayai menyamar sebagai orang miskin bagi mendapatkan bantuan.

Meskipun pada waktu itu pihak pengurusan pejabat sedang sibuk bersiap untuk solat Zohor secara berjemaah, mangsa yang juga muazzin tetap membantu suspek mengisi borang sebagai penerima bantuan.

Namun, ketika mangsa sedang sibuk memfotostat kad pengenalan suspek, lelaki berkenaan bertindak mengambil telefon bimbit mangsa yang diletakkan di atas meja dalam ruangan pejabat berkenaan.

Rakaman menunjukkan suspek menarik dengan pantas telefon bimbit itu lalu memasukkan ke dalam poket kiri seluarnya.

Dalam pada itu, pemilik akaun Facebook, Faizol Hafiq Baharuddin yang dipercayai muazzin masjid tersebut turut berkongsikan status tentang kehilangan telefon bimbitnya.

"Assalamualaikum. Kepada yang mengenali dan menyimpan nombor telefon saya, satu musibah telah terjadi. Telefon saya telah dicuri.

"Saya mungkin tidak dapat dihubungi sehingga dapat nombor telefon saya semula. Jika hendak hubungi saya, boleh melalui FB ini. Doakan saya dapat kembali telefon. Banyak maklumat penting di dalamnya," tulisnya tanpa mendedahkan jenis telefon bimbit miliknya.

Setakat ini, tiada kenyataan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram