
SEBANYAK 51 laporan palsu berhubung ancaman bom diterima pihak polis yang melibatkan 51 buah sekolah di beberapa negeri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, peningkatan laporan tersebut kerana penerima e-mel terbabit lewat membacanya, walaupun ancaman bom palsu itu disebarkan pada waktu yang hampir sama.
Katanya, setakat Khamis, 51 sekolah terbabit melibatkan sembilan negeri dengan laporan paling tinggi diterima di Selangor iaitu sebanyak 18 laporan.
Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka oleh polis di seluruh negara di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mohd Shuhaily (kanan) ketika sidang media di Bukit Aman pada Jumaat. — Astro Awani
“Seperti mana Ketua Polis Negara memaklumkan, perkara ini pernah berlaku di Jamaica. Ini bukan sesuatu yang baru dan ini dari luar negara.
"Namun, pihak polis akan memandang dan mengambil setiap ancaman itu secara serius.
“Kerana kita tidak mahu sesiapa menangguk di air yang keruh, untuk mengambil peluang ini bagi mengancam ketenteraman negara ini.
“Pihak polis akan mengunjungi setiap sekolah yang menerima ancaman itu untuk memastikan tiada unsur-unsur sabotaj atau orang yang menangguk di air keruh,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, sekolah-sekolah berkenaan menjadi ‘sasaran’ kerana alamat e-mel mereka yang tertera di domain awam.
Sementara itu, selain Selangor, polis dilaporkan turut menerima tujuh laporan di Kuala Lumpur melibatkan sekolah antarabangsa.
Pada Selasa, terdapat juga beberapa sekolah antarabangsa yang turut menerima ancaman bom dan sudah diperiksa oleh pihak polis. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram