Rangka strategi ubah cara agih zakat galak golongan miskin tegar sertai program jana pendapatan


  • Massa
  • Ahad, 19 Nov 2023

Mohd Faisol (gambar kecil) yang mencadangkan agar pihak kerajaan mengkaji semula faktor golongan miskin tegar di Malaysia lebih berminat untuk menerima bantuan tunai.

KEMISKINAN sememangnya antara isu hangat yang sering kali menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah tersebut termasuk salah satunya dengan melaksanakan program menjana pendapatan melalui e-Kasih.

Namun, pada Khamis, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan bahawa kira-kira 25 hingga 30 peratus golongan miskin tegar menolak tawaran menyertai program basmi kemiskinan yang dianjurkan oleh kerajaan.

“Begitu juga pendekatan sebelum ini, apabila kita memprofilkan seberapa banyak keluarga dalam e-Kasih yang dikira miskin tegar ini, untuk dipadankan dengan program pembasmian kemiskinan, secara puratanya 25 ke 30 peratus menolak untuk terlibat dalam apa-apa program.

msg1050426791-19050

Rafizi Ramli ketika membahaskan isu tersebut di Dewan Rakyat pada Khamis.

“Ini kerana bagi mereka, bagi saja bantuan tunai manakala yang melibatkan menjana pendapatan ini, mereka tidak berminat,” kata Rafizi ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zaila Mohd Yusoff di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, menurut pakar ekonomi merangkap pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, pihak kerajaan perlu meneliti kembali beberapa faktor yang menjadi punca kepada masalah berkenaan.

"Ini sesuatu yang menyedihkan. Jesteru kerajaan perlu mengkaji dan menganalisis apakah faktor yang menyebabkan golongan 30 peratus ini tidak berminat dengan program eKasih sebaliknya memilih menerima bantuan tunai.

"Adakah faktor usia, logistik, pengalaman atau ilmu, sikap, pengaruh orang luar dan budaya orang miskin tegar itu sendiri serta program penjanaan itu sendiri yang menyebabkan mereka bersifat demikian," katanya kepada Majoriti.

Mohd Faisol berkata, kerajaan juga perlu merangka strategi yang komprehensif dengan melaksanakan kerjasama dengan institusi zakat negeri di seluruh Malaysia supaya bersama-sama menjayakan aspirasi itu dengan mengubah cara pemberian zakat.

"Hal ini supaya mereka yang menerima zakat mampu dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan melalui pemberian zakat dalam bentuk penjanaan pekerjaan yang menghasilkan pendapatan.

"Melalui institusi zakat, golongan fakir dan miskin tegar juga menjadi antara lapan asnaf yang layak menerima bantuan zakat dan zakat ini merupakan instrumen kewangan sosial Islam utama," tambahnya.

Katanya, bilangan atau peratusan miskin tegar yang tinggi akan melambatkan dan membantutkan proses untuk negara mencapai taraf negara maju.

Justeru, langkah-langkah proaktif yang dilakukan sejak kerajaan terdahulu hingga sekarang adalah bagi membendung miskin tegar di Malaysia.

Sementara itu, Mohd Faisol juga tidak menafikan bahawa terdapat juga pelbagai cabaran dihadapi oleh kerajaan bagi merealisasikan hasrat murni tersebut.

Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi ialah kejatuhan nilai ringgit, kemerosotan nilai dagangan, ketidaktentuan ekonomi global dan siri peperangan di luar negara.

"Selain itu kos sara hidup yang semakin tinggi, kenaikan harga barangan, gaji yang rendah dan beberapa lagi faktor lain telah merencatkan perancangan ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram