[VIDEO] Kes kren menara, polis tunggu laporan penting jabatan kimia kenal pasti punca kematian


  • 112
  • Jumaat, 17 Nov 2023

Lokasi kejadian seorang lelaki yang maut dalam kabin kren menara di sebuah tapak projek pembinaan di Persiaran KLCC, Kuala Lumpur pada Khamis.

PIHAK polis masih menunggu hasil laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengenai punca kematian seorang lelaki dalam kabin kren menara di sebuah tapak projek pembinaan di Persiaran KLCC, Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dalam kenyataan pada Jumaat berkata, selain bedah siasat, laporan daripada Jabatan Kimia juga penting untuk mengenal pasti punca kematian pengendali kren menara berusia 27 tahun itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa memulakan tugas seawal pukul 8.15 pagi sebaik selesai sesi taklimat untuk petugas di tapak projek pembinaan itu.

"Semasa kejadian, mangsa mengendalikan kren pada ketinggian 20 meter sebelum penyelia keselamatan tapak mendapati kren tiba-tiba terhenti dan bergegar, pada pukul 4.42 petang.

"Penyelia cuba berhubung dengan si mati melalui 'walkie talkie' namun tidak menerima sebarang maklum balas," katanya sambil memaklumkan mangsa bertugas di tapak projek itu sejak 25 September lalu.

Noor Dellhan berkata, penyelia keselamatan tapak mengambil keputusan menaiki kren berkenaan dan menemui mangsa tidak sedarkan diri.

Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan ambulans bersama pasukan perubatan tiba di lokasi pukul 5.45 petang.

"Dua anggota bomba bersama seorang anggota perubatan kemudian menaiki kren berkenaan dan mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 6.13 petang.

"Mayat kemudian diturunkan sebelum dihantar ke HKL untuk proses bedah siasat, dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram