[VIDEO] Bagai telur di hujung tanduk, 8 pekerja tergantung di udara lepas lantai bangunan runtuh


  • Benua
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Tangkap layar video lapan pekerja berpaut pada tali yang tergantung.

LAPAN pekerja pembinaan berhadapan situasi cemas apabila tapak bangunan baharu yang sedang dibina secara tiba-tiba runtuh sekali gus menyebabkan mereka berada dalam situasi cukup menakutkan.

Kenapa pekerja-pekerja itu berasa demikian? Ia kerana lantai bangunan itu runtuh semasa mereka berada pada ketinggian 152.4 meter (m) di udara sehingga menyebabkan pekerja tersebut terpaksa berpaut pada tali yang tergantung dalam kejadian baru-baru ini.

Difahamkan seorang pekerja pembinaan tidak sempat untuk berpaut pada tali tersebut sekali gus maut di tempat kejadian.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pekerja-pekerja tersebut memaut tali selama beberapa minit sementara menunggu ketibaan anggota bomba untuk menyelamatkan mereka.

Menurut laporan media tempatan, runtuhan tersebut menyebabkan lapan pekerja terpaksa berpaut sekuat hati sebelum diselamatkan oleh bantuan kren bomba yang berada di kawasan kejadian.

Kejadian itu difahamkan berlaku di daerah Sao Paulo, Brazil.

Saksi kejadian, Lidiane Dias berkata, dia terdengar bunyi kuat seperti ada barang-barang yang jatuh daripada langit namun tidak dapat melihat runtuhan tersebut kerana bangunan itu berada dalam tapak pembinaan.

"Seorang pekerja meninggal dunia dalam keadaan cukup tragis dipercayai terjatuh bersama-sama runtuhan tersebut.

"Tidak pasti sama ada mangsa terjatuh terhempas di tanah ataupun terhempap batu-batu binaan dengan pihak berkuasa Soa Paulo dipercayai sedang menyiasat insiden terbabit," katanya.

Bangunan berkembar yang runtuh itu akan siap sepenuhnya pada 2025, apabila media melaporkan ia akan menjadi menara berkembar setinggi 134m. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram