TULAR di media sosial aksi seorang lelaki mencuri motosikal di hadapan sebuah kedai runcit di Palupi, Sulawesi Tengah, Indonesia kira-kira pukul 1 petang Selasa.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan terdapat seorang lelaki yang mengenakan baju 'hoodie' berjalan kaki sambil menuju ke kawasan tempat letak motosikal yang berada di hadapan kedai terbabit.
Apa yang menarik perhatian adalah tindakan suspek yang dilihat mengendong seorang budak ketika kejadian, seolah-olah ia satu perbuatan untuk mengaburi orang sekeliling.
Menunggu persekitaran lengang, suspek dilihat berjalan ke hadapan apabila masih terdapat beberapa pekerja kedai berada di depan premis tersebut.
Pada masa itu, beberapa pekerja sedang mengeluarkan stok barangan kedai runcit dari sebuah lori yang diparkir di hadapan kedai terbabit.
Malah rakaman itu turut menunjukkan gelagat suspek meninjau keadaan sekeliling bagi memastikan tiada orang memerhatikan kegiatannya.
Setelah kawasan itu lengang, suspek terus bertindak dengan pantas untuk mendekati sebuah motosikal yang berada di tempat letak motosikal.
Pelaku turut dilihat berjaya melarikan motosikal itu bersama seorang kanak-kanak yang digendongnya tadi.
Seorang pengguna media sosial yang dipercayai pemilik kedai, Risma Wulandari Farriezya memuat naik satu hantaran di media sosial untuk mencari motosikal yang hilang itu.
"Sebuah motosikal Yamaha Fino berwarna merah hilang di kawasan parkir Rizki Mart sekitar pukul 1 petang. Sesiapa yang mengenali ciri-ciri orang dalam video dan gambar sila mesej atau komen di akaun Rizki Mart.
"Insya-ALLAH yang dapat jumpa semula motor dia akan dapat pampasan IDR1,000,000 (RM303)," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet pilu melihat seorang lelaki melakukan kegiatan tidak bermoral sambil membawa kanak-kanak.
"Astaghfirullah. Mencuri bawa anak kecil begitu," kata Mutmainah Randa L.
"Dia bawa anak dia juga," tulis Myrna Jamil Kosmetik.
"Bawa anak kecil bukan main," kata Ushy Cindybizarbillal.
"Astaghfirullah, kesian anak dia," tulis Yuliana Riski. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram