Ketua Pengarah J-KOM hantar surat letak jawatan, beri alasan tiada tekanan, mahu tukar angin


  • Primer
  • Khamis, 16 Nov 2023

Dr Mohammad Agus yang dilaporkan telah menghantar surat peletakan jawatan. — Gambar hiasan/Bernama

KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dilaporkan telah menghantar surat peletakan bagi jawatan itu berkuat kuasa pada 15 Disember ini.

Namun, surat tersebut dikatakan masih belum dilihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini berada di luar negara.

Mohammad Agus yang mengesahkan perkara itu pada Khamis berkata, segala keputusan untuk menerima peletakan jawatannya atau tidak, terletak kepada Anwar.

“Saya letak jawatan bukan sebab tekanan mana-mana pihak, khususnya pembangkang.

“Saya ingin beralih angin kerana mendapat tawaran di tempat baru. Saya ingin mencuba pengalaman baru.

“Perdana Menteri tahu hasrat saya, tapi belum ada keputusan. Kerajaan ini tetap akan saya pertahankan,” katanya kepada media tempatan.

Namun, surat tersebut dikatakan masih belum dilihat Anwar yang ketika ini berada di luar negara.

Pada masa sama, Mohammad Agus turut difahamkan sedang menghabiskan cuti sehingga tamat tempoh perkhidmatan mengikut tarikh tersebut.

Sebelum ini, jabatan itu menerima pelbagai pertikaian kerana gagal melaksanakan tugas dan memainkan peranan dengan bagus terutamanya berkaitan insentif kerajaan untuk rakyat.

Justeru, terdapat sesetengah pihak yang berpendapat supaya pengarah J-KOM ditukarkan atau mengambil langkah untuk terus membubarkan jabatan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram