POLIS kini giat mengesan seorang suspek lelaki yang tular di Facebook sejak Ahad selepas didakwa memukul dan mencederakan seorang pemandu lori sampah di Jalan 6, Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu berlaku selepas polis menerima aduan daripada pemandu lori berusia 37 tahun.
Menurutnya, mangsa mendakwa dia telah dipukul dan diugut oleh suspek yang tidak dikenali ketika sedang memandu lori untuk mengutip sampah di lokasi kejadian.
"Hasil siasatan awal mendapati kenderaan suspek menghalang laluan lori sampah dan mangsa telah membunyikan hon untuk meminta suspek alihkan kenderaannya.
"Namun, secara tiba-tiba lelaki itu bertindak agresif dengan datang ke arah mangsa yang berada di dalam lori dan memarahinya dengan kata-kata kesat serta mengugut dan memukulnya menggunakan kayu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Agus Salim berkata, mangsa mendakwa mengalami kecederaan pada tangan akibat dipukul oleh suspek namun mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam dan telah dibenarkan pulang.
Susulan itu, katanya, pihak polis membuka satu kertas siasatan di bawah seksyen 324/506 Kanun Keseksaan dan memohon mana-mana individu yang melihat kejadian itu tampil bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram