POLIS menahan seorang lelaki bernama Agus Anwar, 27, kerana didakwa melakukan kecurian di sebuah rumah kosong di kawasan Pademangan, Jakarta Utara, Indonesia.
Ketua Polis Daerah Pademangan, Komisioner Binsar Hatorangan Sianturi berkata, kejadian yang tular di media sosial itu terjadi pada Isnin lalu.
Beliau berkata, pada awalnya, seorang lelaki, Taufik datang ke kawasan itu kerana ingin memeriksa sebuah rumah milik orang tuanya yang sudah lama ditinggalkan.
Ketika berada di hadapan rumah, Taufik melihat tombol pintu rumahnya berada dalam keadaan rosak.
Taufik kemudiannya bergegas masuk ke dalam rumah itu dan terkejut ketika melihat seorang lelaki berada di atas katil biliknya.
Taufik terus melaporkan kejadian kepada pihak polis bagi tujuan siasatan lanjut.
Rakaman menunjukkan, pelaku yang pada awalnya tidur lena terkejut ketika melihat anggota polis datang menghampirinya dari arah belakang.
Ketika disoal siasat oleh pihak polis, suspek menyatakan bahawa dia hanya menumpang tidur di rumah itu.
Namun, pelaku yang tidak membawa kad pengenalan didapati memecahkan tombol pintu rumah sebelum masuk ke kediaman terbabit.
Selain itu, pelaku didapati mengambil barangan elektrik dan mengutip besi-besi yang terdapat di dalam rumah terbabit untuk dijual. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram