POLIS menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berbahaya apabila bermain mercun sambil memandu kereta di Selayang, Selangor Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya mengesan mengenai perbuatan itu melalui satu video tular berdurasi 14 saat yang tular di media sosial pada Ahad.
"Hasil semakan pihak polis mendapati video tersebut dengan jelas memaparkan perbuatan berbahaya.
"Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun serta merampas sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna perak yang digunakan semasa kejadian.
"Suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Sukarno berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 melibatkan kesalahan menyebabkan letupan dengan niat mendatangkan bahaya kepada nyawa atau harta benda.
JIka sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Ujar beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan insiden berkenaan boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram