[VIDEO] Pelik-pelik perangai, pemandu tunjuk aksi bahaya bakar mercun dalam kereta bergerak


  • Benua
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan aksi berbahaya membakar mercun dari bumbung kereta di jalan raya di India pada Khamis.

AKSI membakar mercun sebarangan di atas jalan raya sememangnya amat membahayakan nyawa dan keselamatan orang awam.

Namun, masih ada juga yang tidak peka dengan perkara tersebut yang mana ia dilaporkan telah berlaku di Gurugam, India baru-baru ini.

Menerusi video yang dimuat naik di Twitter (X) oleh @JaiswalBhart pada Khamis, sebuah kereta jenis Ford Endeavour berwarna hitam yang sedang bergerak dilihat mengeluarkan percikan api dipercayai daripada mercun yang diletupkan oleh pemandu tersebut.

Pada masa sama, video yang tular di media sosial sejak Khamis itu juga mendapat perhatian ramai termasuk pihak polis India.

Jurucakap polis, Konstabel Baljeet Singh berkata, tiga lelaki ditahan dan kemudiannya telah dibebaskan dengan ikat jamin pada Jumaat kerana didakwa meletupkan mercun dari bumbung sebuah kereta yang sedang bergerak pada waktu itu.

"Polis mengenal pasti tiga lelaki itu sebagai Vivek dan Jatin yang kedua-duanya merupakan penduduk Gurugam, manakala Lokesh adalah penduduk kampung Jharsa.

"Pihak polis turut merampas sebuah SUV hitam kerana didakwa ia merupakan kereta yang sama seperti dalam video itu.

"Hasil siasatan mendapati, Rajpal iaitu saudara kepada Lokesh difahamkan merupakan pemilik kereta tersebut," katanya.

Katanya, pemandu kenderaan itu bukan sahaja membahayakan tetapi mengancam nyawa orang lain di jalan raya dan tindakan harus diambil mengikut undang-undang.

Sementara itu, Inspektor Station House Officer (SHO) Balai Polis Sektor 53, Rajender Kumar berkata, semua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin selepas mereka disiasat dan sebuah lagi kereta turut didapati terlibat dalam perbuatan sama.

Pada Khamis, pemadu tersebut juga telah didakwa di bawah seksyen 279 (memandu secara terburu-buru), 336 (perbuatan membahayakan nyawa), dan 188 (ingkar perintah oleh penjawat awam) Kanun Keseksaan India. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram