AMERIKA Syarikat pernah digemparkan dengan kisah seorang veteran tentera ditembak mati polis selepas mencuri sebuah kereta kebal dari gudang senjata Pengawal Negara dan mengamuk di kawasan penempatan dekat San Diego.
Shawn Timothy Nelson bukan nama asing dalam kalangan rakyat AS kerana dia memahat nama sebagai individu yang memalukan imej pasukan keselamatan AS dalam kejadian yang berlaku pada 1995.
Malah selepas kejadian itu, nama Shawn sering digunakan oleh kelas pertengahan, khususnya veteran, sebagai simbol masalah ekonomi AS.
Namun selepas dua dekad iaitu pada 2015, bekas isteri lelaki itu, Suzy Hellman mendedahkan kepada polis San Diego bahawa bekas suaminya bukanlah simbol masalah ekonomi, tetapi simbol masalah penyalahgunaan dadah yang tidak terkawal di negara itu.
'Dia terpengaruh penggunaan dadah. Itu sahaja,' kata Helleman yang menyifatkan suaminya sebagai 'orang hebat' yang musnah akibat ketagihannya.
Namun, isterinya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang berlaku ketika Shawn mengamuk menggunakan kereta kebal tersebut.
Mengimbau kembali insiden itu, seorang tentera simpanan, Paul Paxton yang kebetulan berada di lokasi kejadian bertindak pantas mengejar kereta kebal yang dinaiki Shawn.
Paul mempunyai pengalaman memandu kereta kebal dan menggunakan kemahirannya untuk mengelakkan kejadian itu menjadi tragedi yang lebih buruk.
Malah Paul turut dibantu sekumpulan polis yang bertindak menyerbu kereta kebal tersebut selepas kenderaan tentera itu tersekat di pembahagi jalan.
Walaupun diarahkan untuk menyerah diri, Shawn bertindak agresif, sekali gus memaksa anggota polis, Rick Piner bertindak melepaskan satu das tembakan maut ke arah Shawn.
Paramedik cuba merawat Shawn ketika dia keluar daripada kereta kebal, tetapi lukanya terlalu parah dan meninggal dunia.
Tindakan Shawn dikaitkan dengan dadah oleh pakar psikiatri San Diego, Dr. Mark Kalish, yang mendakwa bahawa amfetamin menyebabkan penagih menjadi gila, bertindak ganas dan agresif.
Shawn juga memiliki kisah hidup menyedihkan yang menjadi faktor dia memilih untuk mengambil dadah.
Pada tahun 1991, isterinya yang dikahwini selama enam tahun memfailkan perceraian dan meninggalkannya.
Setahun kemudian, dia kehilangan kedua ibu bapanya akibat kanser, sekali gus menjadi punca Shawn mengambil dadah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram