SEKURANG-KURANGNYA 20 individu ditangkap susulan daripada insiden rusuhan dan rompakan terbuka yang berlaku secara berleluasa di Philadelphia pada malam Rabu.
Polis bandar raya tersebut berkata, insiden samun yang melibatkan tiga kedai di pusat bandar berkenaan itu membabitkan seramai 100 individu di bawah umur.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa antara individu yang ditangkap adalah seorang wanita pempengaruh media sosial yang bertindak menyiarkan secara langsung kerusuhan yang berlaku.
Sebelum itu, video kerusuhan yang berlaku di Jalan Walnut dekat tengah pusat bandar Philadelphia turut tular di sosial media.
Antara yang terjejas dalam rompakan yang berlaku adalah kedai jualan barangan fesyen Lululemon dan Foot Locker dan premis jualan Apple.
Menerusi klip rakaman berkenaan, ia memaparkan keadaan timbunan barangan dan termasuk basikal di kaki lima di luar cawangan Lululemon dengan pegawai pihak berkuasa dilihat mula tiba di tempat kejadian dan membuat tangkapan.
Polis di bandar itu berkata, setakat ini, mereka membuat sebanyak antara 15 hingga 20 tangkapan dan turut menemui dua senjata api di lokasi kejadian.
Pada masa sama, seorang wanita ditangkap yang juga pempengaruh sosial media, Dayjia Blackwell, sebelum itu bertindak menyiarkan secara langsung di Instagram keadaan huru-hara di bandar itu.
Tindakan berkenaan dipercayai turut menjadi antara punca menyebabkan lebih ramai individu turut serta dalam rusuhan berkenaan.
Dalam video tersebut, dia juga didengar menjerit berulang kali, "Semua orang perlu makan, semua orang perlu makan, semua orang perlu makan."
Susulan daripada itu, pengguna media sosial turut berkongsikan video memaparkan individu dipercayai Dayjia yang dilihat sedang digari dan ditahan oleh pegawai polis semasa membuat siaran langsung.
Pihak polis masih belum memberikan pengesahan mengenai sama ada penangkapan berkenaan mempunyai kaitan dengan rusuhan dan rompakan yang berlaku.
Sebelum itu, Dayjia telah berkongsi video rompakan itu ke laman media sosialnya dengan rakaman awal memaparkan kesan rompakan yang berlaku di kedai Apple.
Kesemua peralatan jualan elektronik di dalam premis berkenaan dilihat sudah tercabut dari tempat pameran kedai tersebut.
Tangkap layar siaran langsung yang dibuat oleh Dayjia.
Sementara itu, satu lagi rakaman turut memaparkan rompakan yang beralu di luar kedai Lululemon dengan menunjukkan sejumlah besar pencuri melarikan diri ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.
Dalam pada itu, laporan CBS3 memaklumkan bahawa bahawa rompakan yang berlaku itu tidak ada kaitan dengan demonstrasi warga 'kulit hitam' di bandar berkenaan yang dibuat susulan keputusan mahkamah berhubung insiden tembakan maut terhadap orang awam yang melibatkan seorang anggota polis.
Beberapa insiden kerusuhan yang berlaku di bandar tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan peningkatan kadar jenayah yang berlaku di Philadelphia sejak selepas pandemik.
Dalam tempoh dua tahun iaitu pada 2021 dan 2022, bandar berkenaan menyaksikan berlakunya sebanyak lebih daripada 500 kes pembunuhan.
Dalam pada itu angka terkini bagi 2023 setakat Ahad lalu, menunjukkan terdapat 302 kes pembunuhan dilaporkan terjadi di seluruh bandar tersebut.
Dengan perkembangan tersebut, ia turut menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah gelandangan di samping penggunaan dadah yang semakin berleluasa di jalanan.
Antara kumpulan yang merusuh dan merompak di sebuah premis dekat bandar berkenaan. — Agensi
Golongan gelandangan dan penagih dadah dilihat turut terlibat dengan insiden kecurian sebagai cara untuk menyara kehidupan dan mendapatkan wang tambahan bagi memenuhi ketagihan mereka.
Dalam pada itu, sebelum ini, turut tular satu insiden rusuhan dan rompakan serupa yang berlaku di California, AS.
Kejadian rompakan tersebut yang berlaku Topanga Mall dekat bandar terbabit, membabitkan sekumpulan lebih 30 individu yang melarikan barangan mewah bernilai AS$300,000 (RM1.4 juta).
Video yang beredar di sosial media itu menunjukkan pencuri terbabit membawa lari barangan mewah jenama seperti Yves Saint Laurent, Burberry dan Bottega Veneta. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram