KES kemalangan melibatkan haiwan melintas di tengah jalan raya sememangnya bukan baharu di Malaysia.
Begitu juga yang berlaku pada seorang pemandu kereta yang merempuh seekor lembu dipercayai berlaku di Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.
Menerusi video dashcam yang tular di media sosial sejak Isnin, kemalangan berlaku ketika lembu tersebut dilihat secara tiba-tiba melintas jalan.
Dalam video berdurasi 30 minit itu, pemandu terbabit dilihat tidak sempat mengelak dan terus melanggar haiwan yang datang dari arah tepi itu.
Impak daripada pelanggaran tersebut, lembu itu terpelanting ke bahu jalan sebelum ia dilihat bangun semula dan berlari ke seberang jalan bersama beberapa lagi lembu lain.
Namun, keadaan mangsa selepas kemalangan lagi masih tidak dapat dikenal pasti.
Pada masa sama, video tersebut turut memaparkan keadaan cermin hadapan kereta mangsa yang pecah akibat kemalangan itu.
Menjengah ke ruangan komen, ada segelintir netizen berang dengan sikap pemilik lembu yang tidak bertanggungjawab melepaskan haiwan tersebut di jalan raya.
"Bila tanya nanti, semua tak mengaku itu lembu dia. Kalau nak sembelih nanti tiba-tiba semua mengaku itu lembu dia," komen @GipsyAvenger317.
"Patutnya sembelih je semua lembu-lembu itu sampai ada yang mengaku dia punya," tulis @Betelgeus618.
Bagaimanapun, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram