[VIDEO] Lepas kenderaan kena rempuh kereta api, pemandu lori sawit hilang di Kampung Pisang


  • 112
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Sebuah lori yang membawa muatan sawit dirempuh sebuah kereta api di Kilometer 167.8 landasan kereta api Jerantut-Kuala Krau pada Khamis.

SELEPAS tular kejadian mengenai kereta api merempuh kawanan lembu di Bera, sebuah lori yang membawa muatan sawit pula dirempuh oleh kereta api di Kilometer 167.8 landasan kereta api Jerantut-Kuala Krau berdekatan Kampung Pisang, Jerantut, Pahang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Khamis berkata, siasatan awal mendapati, kejadian pukul 5.30 petang itu membabitkan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) DMU 04 yang dalam perjalanan dari Jerantut menuju ke Gemas, Negeri Sembilan.

“Apabila tiba di tempat kejadian tiba-tiba sebuah lori jenis Toyota melintas dari kiri menghala ke kanan landasan kereta api sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran.

“Akibat kemalangan ini, pemandu lokomotif yang berusia 35 tahun dan pembantunya berumur 26 tahun mengalami kecederaan ringan manakala semua penumpang kereta api tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada Jumaat.

Menurut Azman, pemandu lori tidak dapat dikesan di tempat kejadian dan dipercayai telah melarikan diri.

Tambahnya, kereta api tersebut pecah cermin hadapan dan calar bahagian kanan manakala hampir keseluruhan bahagian lori tersebut remuk.

Sementara itu, penduduk Kampung Pisang yang mahu dikenali sebagai Sawardi, 50-an, berkata, ketika kejadian, dia membantu untuk memasang khemah persiapan majlis perkahwinan saudaranya sebelum tiba-tiba terdengar teriakan seorang rakannya.

“Kami berkejar ke tempat kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dan mendapati lori tersebut tersadai di tepi landasan kereta api dengan keadaan bahagian hadapan lori mengalami kerosakan teruk.

“Tandan kelapa sawit muatan lori berkenaan berselerakan di atas landasan kereta api dan beberapa orang penduduk membantu mengalihkan tandan sawit berkenaan daripada atas landasan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram