Provokasi ketika mabuk, pekerja kedai warga asing maut dikelar di JB


  • 112
  • Ahad, 16 Jul 2023

Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada mangsa memprovokasi suspek dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan pergaduhan. — Gambar hiasan

SEORANG lelaki warga asing maut dipercayai dikelar dalam pergaduhan dengan rakan senegara di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor, malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak memaklumkan, anggota Balai Polis Desa Cemerlang mendapat maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan yang berlaku di sebuah bilik sewa bangunan kedai di taman berkenaan pada pukul 11.15 malam.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian, polis menemui pekerja kedai dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

"Mangsa berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia. Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada mangsa memprovokasi suspek dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan pergaduhan.

"Dalam pergaduhan tersebut, mangsa disyaki dikelar pada bahagian leher sebelah kanan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Ismail (HSI)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelas Mohd Sohaimi, anggota polis kemudian menahan dua suspek masing-masing berusia 39 dan 40 tahun dalam tempoh 24 jam di sekitar kawasan bangunan kedai Taman Desa Cemerlang.

Tambahnya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Pihak polis merampas tiga pisau boleh laras yang terdapat kesan darah dan satu minuman keras, selain menemukan 13 'swab' kesan darah di tempat kejadian dan pada badan suspek.

"Kedua-dua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama enam hari bermula hari ini (Ahad).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram