[VIDEO] Polis kumpul info, ejen Mossad dalam negara — KPN


  • 112
  • Rabu, 08 Nov 2023

Razaruddin berkata, keselamatan dan ketenteraman negara adalah di bawah bidang kuasa polis mengikut Seksyen 3 Akta Polis 1967. — Bernama

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kini turut memantau kemungkinan terdapatnya sebarang aktiviti membabitkan ejen perisikan Israel, Mossad di Malaysia.

Ia selepas kelantangan Malaysia berkaitan isu Palestin dilihat menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan negara tertentu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain berkata, polis melalui pasukan risikan akan mengumpul maklumat sebanyak mungkin berkaitan perkara itu.

"Kita (PDRM) akan mengumpulkan sebanyak mana maklumat bukan sahaja libatkan pihak seperti Mossad, termasuk juga (aktiviti) sabotaj ekonomi atau pengintipan.

"Sekiranya kita mempunyai maklumat itu, tangkapan akan dibuat," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Rabu.

Razaruddin menambah, keselamatan dan ketenteraman negara adalah di bawah bidang kuasa polis mengikut Seksyen 3 Akta Polis 1967.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta terhadap warga asing yang mungkin menjadi sasaran pihak tertentu dalam isu berkaitan konflik Israel-Palestin.

Menurut beliau, polis memberi jaminan bahawa isu keselamatan akan terus diberi perhatian dan tindakan susulan akan dibuat sekiranya terdapat sebarang cubaan daripada mana-mana pihak untuk melanggar undang-undang negara.

Pada 24 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak takut dengan ugutan dan tekanan negara Barat kerana pendiriannya yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Ujarnya, negara tidak akan sama sekali tidak tunduk kepada sebarang ugutan bagi memperjuangkan kebebasan buat Palestin daripada penindasan rejim Zionis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram