Konflik Israel-Palestin: Kumpulan ke-2 Malbatt 850-11 hadapi misi lebih mencabar


  • Primer
  • Selasa, 07 Nov 2023

Adly Zahari (kanan) bersalaman bersama Anggota Kumpulan Kedua MALBATT 850-11 ke Lubnan pada majlis penghantaran kumpulan tersebut di Pangkalan TUDM pada Selasa. — Bernama

KUMPULAN kedua Malbatt Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11) bagi misi pengaman dan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, pada Selasa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kumpulan kedua itu terdiri daripada 16 pegawai dan 193 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta tujuh anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, diketuai Timbalan Komander Malbatt 850-11, Lt Kol Zainol Abdul Samad.

Beliau berkata, pemergian kumpulan kedua itu amat penting dalam usaha merealisasikan komitmen ATM selaku misi pasukan pengaman di bawah panji-panji PBB, khususnya di Lubnan.

"Penglibatan ATM melalui Kontinjen Malbatt di Lubnan ini jelas berjaya mendapat pengiktirafan dan kepercayaan antarabangsa.

"Peranan dan penglibatan ini membuktikan Malaysia sangat komited dalam melaksana misi bantuan kemanusiaan kepada negara yang memerlukan, demi memastikan keamanan dan keselamatan sejagat dipertahankan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghantaran Kumpulan Kedua Malbatt 850-11 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang, Shah Alam, pada Selasa.

Beliau berkata, Malbatt 850-11 telah menjalani latihan khusus selama tiga bulan yang merangkumi sebulan latihan perkhidmatan tunggal dan dua bulan latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama bertempat di Malbatt Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Malbatt 850-11 telah bersedia untuk diatur gerak ke Lubnan bagi menggantikan Malbatt 850-10 yang akan menamatkan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) setelah berkhidmat 12 bulan,” katanya.

Adly berkata, Malbatt 850-11 diatur gerak secara berperingkat menerusi empat kali penerbangan menggunakan pesawat Air Asia, dengan penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-11 dilaksanakan pada 2 November lepas, Kumpulan Ke-3 pada 12 November depan dan penghantaran Kumpulan Ke-4 empat hari kemudian.

Beliau berkata, penugasan kali ini dilihat lebih mencabar ekoran konflik Israel-Palestin yang tercetus sejak 7 Oktober lepas.

Jelasnya konflik ini dilihat semakin tegang di antara kedua-dua pihak yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda.

"Sudah pasti konflik ini akan memberi kesan kepada situasi keselamatan di selatan Lubnan dan menjejaskan pengoperasian Kontinjen Malbatt 850-10 serta Malbatt 850-11 sekiranya ia berpanjangan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram