Tarif air dan elektrik kekal, harga ayam tidak diapung


  • Primer
  • Jumaat, 24 Jun 2022

Harga siling baharu ayam akan diumumkan dalam masa terdekat.

KERAJAAN memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.

Beliau berkata, bagi harga ayam pula, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

"Keputusan yang dibuat itu membuktikan keprihatinan kerajaan demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram