KEMENTERIAN Kerja Raya akan menjalankan percubaan untuk penggunaan tol tanpa palang bermula pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini masih sedang dalam proses kajian berhubung pelaksanaan sistem bayaran tol tersebut atau lebih dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF).
"Sebenarnya kita telah membuat kajian di banyak negara dan kita nak yang terbaik. Sebab itu sekarang ini dalam proses kajian.
"Dalam masa sama, kita akan cuba pada 2024 penggunaan tersebut secara cubaan. Kita nak melihat kesesuaiannya," kata Abdul Rahman di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan MLFF bagi sistem kutipan tol di lebuh raya akan menggunakan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) selain sistem Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).
Ujarnya, dengan pelaksanaan MLFF, pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol, sekali gus meningkatkan kelancaran perjalanan di lebuh raya melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisien.
"Saranan ahli Yang Berhormat sebentar tadi, kita telah membuat kajian (melibatkan) banyak negara dan kita nak supaya yang terbaik, sebab itu dalam proses kajian.
"...kita telah pergi melihat banyak negara menggunakan MLFF ini, penggunaannya sangat baik, jadi insya-Allah kita akan cuba sedaya upaya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sama ada kerajaan bercadang melaksanakan sistem kutipan tol tanpa plaza tol dan palang.
Pada 20 Mac lalu, Abdul Rahman dilaporkan berkata, sebanyak RM3.46 bilion akan dibelanjakan kerajaan bagi melaksanakan MLFF, bertujuan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol.
Bagi menjawab soalan asal Afnan Hamimi berhubung hala tuju kerajaan terhadap sistem RFID di semua lebuh raya dan usaha menambah baik sistem kutipan tol untuk kelancaran pengguna, Abdul Rahman berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa memantau prestasi lorong tol menggunakan sistem kutipan tol dengan teknologi RFID di semua lebuh raya.
"Selaras dengan hasrat kerajaan dalam pelaksanaan MLFF sebagai usaha menambah baik kutipan tol, teknologi RFID ini telah diterima sebagai teknologi yang akan digunakan, dalam pelaksanaan MLFF.
"...kami di LLM sentiasa melihat keadaan di lorong tersebut, maknanya kita selalu membuat analisis tentang plaza tol iaitu lorong bagi setiap mod (pembayaran) khususnya Touch 'n Go, SmartTAG dan RFID,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman pada Isnin berkata, Kerajaan belum membuat sebarang perbincangan membabitkan pemberian tol percuma sempena perayaan Deepavali pada Ahad ini.
Katanya, sebarang pengumuman berhubung pemberian tol percuma itu bergantung kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).
“Setakat ini saya nyatakan bahawa belum ada perbincangan lagi (pengecualian bayaran tol sempena Deepavali) dan kalau ada pengumuman MOF akan buat melalui Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Maknanya apabila kita dapat kelulusan daripada MOF barulah kita akan umumkan ada pelepasan tol atau tidak,” ujar beliau.
Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer berhubung sama ada kerajaan akan memberikan tol percuma sempena sambutan Deepavali.
Terdahulu, beliau berkata, trend di Malaysia apabila ada cuti bercantum pasti masyarakat mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram