DUKE laksana sistem pembayaran tol terbuka


  • Primer
  • Rabu, 12 Apr 2023

Lebuh raya DUKE menjadi syarikat konsesi lebuh raya terkini yang bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka di plaza tol lebuh raya kendaliannya.

LEBUH RAYA Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) menjadi syarikat konsesi lebuh raya terkini yang bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka di plaza tol lebuh raya kendaliannya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan yang dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Kerja Raya dan DUKE menjadikan keseluruhan jumlah lebuh raya yang bakal terlibat dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka kepada 12 lebuh raya yang dijangka bermula pada September 2023.

Katanya, lebuh raya terlibat termasuklah Lebuh Raya Sungai Besi, Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuh Raya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Beliau memaklumkan Lebuh Raya DUKE juga dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuh Raya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ia dilaksanakan di semua lebuh raya di dalam negara.

"Seperti yang diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.

"Usaha ini diharap dapat memberikan peluang kepada kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terlibat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu-isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF ini kelak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Nanta berkata, pada ketika ini, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, POC dan MLFF masih mengikut jadual dan kementeriannya sedang giat berusaha memastikan kesemua perancangan dapat dijayakan dengan lancar.

"Saya memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini, sekali gus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram