DUA warga emas hilang tempat berteduh selepas rumah dua tingkat yang didiaminya itu terbakar di Kampung Kupang Hilir, Saratok, Sarawak pada Ahad.
Dalam kejadian itu, kedua-dua warga emas tersebut berjaya diselamatkan orang awam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 12.16 tengah hari.
Operasi memadamkan api ketika kebakaran berlaku di Saratok pada Ahad. — Bomba Saratok
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II), Nasir Drahman dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis struktur tidak kekal yang telah terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi rumah dua tingkat jenis struktur yang sama (bersebelahan) telah terbakar dua peratus.
"Dua warga emas telah berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pasukan bomba kemudian bertindak memadam kebakaran dengan teknik offensive dan defensive bagi mengelakkan kebakaran merebak.
"Setelah memastikan keadaan terkawal dan api telah dipadamkan sepenuhnya, pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai," katanya.
Sementara itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun, punca kebakaran serta jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa masih lagi dalam siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram