SATU tragedi kebakaran telah tercetus di sebuah stesen minyak di kawasan Jalan Lingkar Selatan, Desa Jayaraksa, Kecamatan Baros, Kota Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Baros, Komisioner Polis Heri Hermawan, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat laporan mengenai kejadian yang berlaku kira kira pukul 7.45 petang (waktu tempatan).
Pada awalnya, seorang pekerja stesen minyak menjalankan tugas dengan mengisikan minyak pada salah sebuah kenderaan pelanggan.
Secara tiba-tiba, dia terkejut apabila melihat api yang marak keluar daripada bahagian tengah van berkenaan.
Pemandu yang masih berada di dalam kereta panik dan bergegas memadamkan api tanpa mempedulikan dirinya.
Mengulas lanjut, Heri berkata, pemandu terbabit dilaporkan mengalami kecederaan pada kedua-dua belah kakinya.
“Seorang mangsa, cedera ringan di kaki kanan dan kiri sudah dibawa ke Pusat Kesihatan Baros,” kata polis.
Menurut Ketua Bomba Kota Sukabumi, Ujang Rustiandi, sebanyak empat kenderaan bomba berserta pasukan dihantar ke kawasan terbabit dalam usaha menangani kebakaran.
Keadaan kereta terbabit selepas api dipadamkan.
Ujang berkata, api berjaya dipadamkan dalam masa 30 minit sahaja dan hal itu telah mengelakkan api daripada terus marak ke seluruh stesen minyak itu.
Bagaimanapun, anggota polis masih memeriksa tempat kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan polis.
Dalam pada itu, Heri berkata, beberapa saksi seperti pekerja stesen minyak dan pemandu kenderaan terbabit telah disoal siasat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram