[VIDEO] Pekerja 'detailing' terkedu ditimpa malang lepas lenjan Mini Cooper pelanggan di Petaling Jaya


  • Tular
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Keadaan Mini Cooper pelanggan yang rosak akibat dirempuh oleh pekerja 'detailing' kereta di Petaling Jaya, Selangor pada 31 Oktober.

SEORANG pekerja kedai kecantikan kereta tular selepas merempuh sebatang pokok ketika memandu sebuah kereta mewah pelanggan dipercayai berlaku di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Kejadian yang sempat dirakam dalam dashcam kereta yang dipercayai jenis Mini John Cooper Works itu dilihat mengalami kerosakan teruk pada bumper hadapan sebelah kiri.

Menerusi video tular sejak Sabtu, pemandu yang juga merupakan pekerja kedai detailing itu dilihat memandu dalam keadaan selamat pada awalnya namun, dia bertindak untuk memecut pada 90 kilometer sejam ketika melalui jalan di kawasan yang sibuk dan padat dengan beberapa kenderaan lain.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook Tanpa Nama pada Sabtu, pemandu tersebut dilihat hilang kawalan ketika mahu mengelak sebuah lori yang datang dari arah bertentangan sebelum terbabas merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

Sedar dengan perbuatannya itu, dia dengan pantas dilihat keluar untuk melihat keadaan kenderaan terbabit di lokasi kejadian.

Menjengah ke ruangan komen pula, rata-rata warganet meluahkan rasa berang dan bimbang akan keadaan pemilik kenderaan tersebut.

"Kereta hantar untuk detailing, pekerja buat macam kereta dia main test-test pula. Kereta seperti itu dah bikin semula tengok pun hati sakitlah," komen Mohd Hafiz.

"Kalau nak dinilai kerosakannya mungkin tiga bulan gaji tak cukup, pekerja itu perlu makan rumput tiga bulan, bawa kereta orang tak sedar diri terimalah padahnya," tulis Mohd Yazid Mohd Ali.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan lagi yang dikeluarkan oleh pemilik kenderaan atau pihak pusat detailing kereta terbabit berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram