SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi di Amerika Syarikat (AS) berdepan detik ngeri apabila nyaris maut selepas terlibat dalam satu kemalangan mengakibatkan lebih 20 tulangnya patah.
Insiden menakutkan itu dirakamkan sendiri oleh kamera yang dipasang pada helmet mangsa yang kemudiannya dimuat naik di saluran YouTube lelaki tersebut selepas hampir empat bulan kejadian terbabit.
Menerusi klip tersebut, ia memaparkan lelaki itu pada awalnya memecut dengan agak laju membawa motosikal jenis Honda CBR600RR di sebuah lebuh raya dekat Florida.
Dia juga dilihat cukup bersahaja memotong pelbagai kenderaan lain termasuk lori treler yang berada di lebuh raya berkenaan yang agak sibuk.
Bagaimanapun, menghampiri beberapa saat sebelum kemalangan, dia didapati hampir melanggar sebuah lori treler yang berada di kanannya, namun sempat mengelak dengan bergerak ke lorong kiri.
Bagaimanapun, usahanya untuk terus menyelit dan memecut kemudiannya gagal apabila dia tidak sempat mengelak trak pikap yang berada di lorong kiri dan berlanggar.
Impak kuat pelanggaran itu menyebabkannya terjatuh dan terseret ke hadapan jalan.
Lebih mengejutkan, kedua-dua tangan mangsa dan badan dilihat melekat dan terseret bersama motosikal tersebut.
Menerusi tulisan pada hantaran video yang dikongsikan sendiri lelaki tersebut, mangsa dilihat sudah serik dengan kejadian yang menimpanya.
"Kemalangan yang saya alami dari kira-kira empat bulan lalu. Saya menyebutnya sebagai kemalangan, tetapi ia jelas salah saya. Syukurlah, masih hidup.
"Tapi saya mengalami lebih 20 tulang patah antaranya di muka, lengan dan tulang rusuk. Saya akan kembali menunggang suatu hari nanti, tetapi tidak lagi seperti sebelum ini," ujarnya.
Video berkenaan yang dimuat naik 22 Oktober lalu itu kini mendapat lebih 45,000 tontonan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram