SEKURANG-KURANGNYA tujuh disahkan maut dalam kemalangan membabitkan berpuluh-puluh kenderaan yang berpunca daripada 'super fog' atau kabus tebal di Lebuh Raya Interstate 55 di St. John the Baptist Parish, Louisiana, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.
Polis AS berkata, kabus dan asap tebal di kawasan itu berlaku kerana terdapat kebakaran paya di kawasan itu.
Cuaca yang buruk itu telah merendahkan jarak penglihatan ramai pemandu sehingga terjadinya pelanggaran membabitkan sekurang-kurangnya 158 kenderaan.
Beberapa kereta turut bertimbun antara satu sama lain.
Lebih parah, terdapat sebuah lori tangki dengan membawa cecair berbahaya yang berada dalam tempat kejadian sehingga mengakibatkan beberapa kenderaan lain turut terbakar.
"Selepas lori tangki itu berjaya dialihkan, mungkin lebih ramai angka kematian dapat dikesan," kata polis.
Beberapa kenderaan yang terbabit rosak teruk dalam pelanggaran membabitkan 158 buah kenderaan pada Isnin.
Berdasarkan rakaman yang tular, beberapa kenderaan remuk, selain ada juga kereta yang terbakar.
Mengulas kejadian, beberapa mangsa seolah-olah tidak percaya dengan bencana yang menimpa, di samping mangsa lain menjerit meminta pertolongan.
Salah seorang mangsa, Clarencia Patterson Reed berkata, ketika kejadian, dia memandu sebuah kereta dengan membawa isteri dan anak saudaranya dan melihat di hadapan seorang mangsa melambai-lambaikan tangan untuk menyuruhkan menghentikan kenderaan.
Malangnya, semasa ingin menghentikan kenderaan, keretanya telah dilanggar dari belakang dan di sisi oleh dua kenderaan lain.
Ketika itu, Clarencia terus bergegas keluar dari keretanya, namun isterinya tersepit di dalam kereta dan cedera di kaki.
Sementara itu, polis mengesahkan 25 orang lagi mengalami kecederaan apabila sebahagian daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Sebelum ini, ahli meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di New Orleans, Tyler Stanfield, berkata, kabut tebal terhasil daripada gabungan kelembapan di udara dan asap akibat kebakaran paya sporadik di seluruh Lembah Sungai Mississippi ke arah Baton Rouge, Louisiana.
Walaupun 'super fog' jarang berlaku, ia bukan fenomena yang tidak pernah didengari, malah pada kebiasaannya, New Orleans mengalami 'super fog' dua kali setahun. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram