MB Pahang terlalu semangat, tersasul sebut 'Palestin hancur' — Fadzli


  • Primer
  • Ahad, 29 Okt 2023

Wan Rosdy yang ketika itu tersasul melaungkan 'Palestin hancur' sebelum ditegur Fadzli ketika perhimpunan solidariti di MBK, Pahang pada Sabtu.

HARI demi hari, semangat bersolidariti yang berkobar-kobar dalam diri seluruh rakyat Malaysia sememangnya tidak pernah berhenti demi memperjuangkan nasib warga bumi Palestin.

Orang ramai tidak mengira bangsa, kaum, agama atau status dilihat turut bersemangat menyertai setiap perhimpunan aman bagi menunjukkan solidariti bersama Palestin.

Pada Sabtu, satu perhimpunan diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Pahang yang disertai oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Namun, timbul satu isu yang melibatkan Menteri Besar tersebut yang mana beliau tanpa sengaja telah melaungkan perkataan 'Palestin hancur' ketika menyampaikan ucapan pada waktu itu.

msg1050426791-18096 (1)

Perhimpunan solidariti bersama Palestin yang diadakan di MBK, Pahang pada Sabtu.

Momen itu juga sempat dirakam oleh orang ramai yang menyertai perhimpunan itu sehingga membuatkan klip video itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, Exco Komunikasi, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal tangkas memberi kenyataan balas dengan mengatakan ia adalah suatu perkara yang tidak disengajakan.

"Saya berada di MBK dan pada masa itu, Menteri Besar memberikan ucapan yang sangat bersemangat dan ketika itulah kesilapan itu berlaku," kata Fadzli.

Dalam klip video tersebut, Wan Rosdy dilihat beberapa kali melaungkan 'Palestin hancur' sebelum Fadzli menghampiri dari belakang untuk membetulkannya.

@p083kuantan ini lah video yang diviralkan Ucapan MB Pahang tersasul kerana terlalu bersemangat, yang mana beliau tidak sengajakan. Beliau benar² tersasul. Semoga semua pihak jelas dan tidak membuat andaian sebaliknya. Namun semangan MB Pahang menjayakan Himpunan Pahang 4 Palestine harus diberi pujian. #mbpahang #tokwan #tersasul #ucapan #menteribesar #pahang #himpunanpahang4palestine ♬ original sound - p083kuantan

Fadzli berkata, beliau segera bertindak untuk memaklumkan kesilapan itu kepada Wan Rosdy dan mengaku telah melakukan kesilapan tersebut.

Pada masa sama, Wan Rosdy juga dilihat membetulkan laungannya dengan perkataan 'Israel hancur' selepas ditegur dan kemudian meminta kesilapan awal itu disunting.

"Beliau meminta agar kesilapan itu tidak dihebahkan. Kita semua tahu Menteri Besar tidak berniat untuk menyokong Israel. Kita jelas tahu itu salah tetapi kenapa kesilapan itu menjadi tular? Apakah niat di sebalik semua ini," kata Fadzli.

Beliau berkata, terdapat banyak perkara lain mengenai perhimpunan itu yang boleh dihebahkan seperti Pahang menjadi negeri pertama yang menganjurkan perhimpunan besar bagi menyokong Palestin.

Dalam pada itu, Fadzli berkata, Wan Rosdy mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menderma RM100,000 kepada dana Pahang Untuk Palestin.

"Menteri Besar, dengan nada tegas dan berani, mengutuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana kegagalannya mengambil tindakan tegas terhadap Israel. Ini yang sepatutnya menjadi tular," kata Fadzli.

Tambahnya, orang ramai juga tidak seharusnya menyebarkan berita yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat demi mengejar populariti dan perhatian. — The Star/Ong Han Sean

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram