KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menunggu laporan siasatan kes tular berhubung program di sebuah sekolah yang didakwa memaparkan unsur ekstremisme bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin sebelum mengambil tindakan lanjut.
Menterinya, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan ke atas sekolah berkenaan, seterusnya membuat laporan mengikut garis panduan ditetapkan.
“Sebelum hendak mengambil apa tindakan mesti ada laporan (terlebih dahulu) dan ia mesti ikut garis panduan.
“Garis panduan (Minggu Solidariti Palestin) sangat jelas yang kita ada libat urus dengan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) masing-masing apa yang boleh dan apa yang tidak boleh (dilakukan) serta perlu memastikan aktiviti ini berlangsung dalam keadaan harmoni dan mengangkat tema kemanusiaan, kedamaian dan keamanan sejagat.
“Dalam hal ini (kes tular) kita (KPM) masih dalam siasatan dan tunggu laporan dari pihak jabatan (yang menyiasat),” katanya mengulas berhubung kes tular terbabit sehingga wujud bantahan dari segelintir ibu bapa yang meminta program solidariti itu tidak diteruskan kerana dianggap tidak sesuai.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir merasmikan Pelancaran Taman Angkat Amanita Taman Pekaka, di Nibong Tebal pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, program Minggu Solidariti Palestin di sekolah adalah digalakkan kerana ia penting untuk memahamkan nilai positif dalam kalangan pelajar dan murid.
“Bagaimanapun, kita tak kompromi unsur-unsur radikalisme, ekstremis, keganasan, replika dan senjata yang ia tidak dibenarkan sama sekali.
“Oleh itu, kita minta semua pihak di bawah institusi pendidikan beri perhatian penuh kepada garis panduan yang kita keluarkan.
“Sebab itu, itu Minggu Solidariti Palestin ini kita buat dalam tempoh yang terhad iaitu dari 29 Oktober hingga 3 November sahaja supaya kita boleh kawal dan pantau selain daripada itu mana-mana sekolah yang melanggar garis panduan ini akan kita ambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial mengenai program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.
Namun, KPM mengesahkan video berkenaan dianjurkan di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan pihak kementerian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram