Lupa hantar anak ke pusat asuhan IPTA, bayi perempuan 16 bulan maut tertinggal dalam kereta bapa


  • 112
  • Rabu, 25 Okt 2023

Mayat bayi 16 bulan dibawa untuk dibedah siasat di Unit Forensik HSNZ, Kuala Terengganu pada Selasa.

SEORANG bayi perempuan berusia 16 bulan yang juga anak seorang kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kuala Nerus maut setelah ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta bapanya.

Bayi malang itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapanya dalam kejadian pada pukul 4.30 petang, Selasa.

Bapa mangsa yang cemas terus bergegas membawa bayi itu di pusat kesihatan IPTA berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, pemeriksaan pegawai perubatan bertugas mengesahkan bayi tersebut sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bapa kanak-kanak tersebut terlupa untuk menghantar anaknya itu ke pusat asuhan kanak-kanak IPTA berkenaan pada sebelah pagi.

“Sepasukan anggota polis bergegas ke pusat kesihatan IPTA tersebut sebaik dimaklumkan kejadian itu.

“Mayat bayi tersebut ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat,” katanya memetik laporan Kosmo! pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram