Titisan air mata Agong, Permaisuri iringi persembahan pilu pantomin peringati wira Lahad Datu


  • Primer
  • Isnin, 31 Jul 2023

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri turut sebak ketika menyaksikan pentomim Ops Daulat bagi memperingati 10 tahun peristiwa pencerobohan Kampung Air Simunul di Semporna Sabah pada Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Isnin. — Bernama

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Isnin berkenan untuk sembah kenal balu serta waris kepada enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban ketika menyertai Op Daulat pada Mac 2013, di Kampung Simunul, Sabah.

Pertemuan itu berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya dalam suasana sayu, usai persembahan pantomim bertajuk Op Daulat Kampung Simunul bersempena Sambutan Hari Pahlawan 2023.

Balu dan waris terbabit mewakili enam wira yang gugur pada 2 Mac 2013 iaitu ACP Ibrahim Lebar, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abd Azis Sarikon, Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Salam Togiran dan DSP Michael Padel.

PUTRAJAYA, 31 Julai -- Ibu bapa kepada Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban semasa Ops Daulat, Saadiah Mohd Amin dan Tukiran Ahmad turut sama dalam persembahan pentomim Ops Daulat memperingati 10 tahun peristiwa pencerobohan Kampung Air Simunul di Semporna Sabah pada Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan, Putrajaya hari ini.Sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ibu bapa kepada Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban semasa Ops Daulat, Saadiah Mohd Amin dan Tukiran Ahmad turut sama dalam persembahan pentomim Ops Daulat pada Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan, Putrajaya hari ini. — Bernama

Wira-wira yang gugur itu adalah dari Cawangan Khas, Pasukan Gerakan Am, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna.

Seri Paduka berdua yang sebak menyaksikan persembahan pantomim itu, kemudiannya turun dari pentas utama bertemu balu serta waris wira-wira negara yang terkorban itu dalam suasana yang semakin sayu dengan berlatarbelakangkan lagu "Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu" nyanyian penyanyi tersohor Uji Rashid.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan mengurniakan sumbangan ketika menyantuni balu dan waris anggota PDRM dalam pertemuan itu yang juga disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PUTRAJAYA, 31 Julai -- Keluarga mangsa Ops Daulat turut sama dalam persembahan pentomim Ops Daulat memperingati 10 tahun peristiwa pencerobohan Kampung Air Simunul di Semporna Sabah pada Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan, Putrajaya hari ini.Sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai adalah antara usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Keluarga mangsa Ops Daulat turut sama dalam persembahan pentomim Ops Daulat memperingati 10 tahun peristiwa pencerobohan Kampung Air Simunul di Semporna Sabah pada Sambutan Hari Pahlawan 2023 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Isnin. — Bernama

Persembahan pantomim yang menyayat hati itu adalah hasil karya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali dan dijayakan oleh 150 anggota PDRM, Unit 69 Komando, Pasukan Gerakan Udara dan Pasukan Gerakan Am.

Pada 12 Februari 2013, lebih 200 pengganas Sulu yang memperkenalkan diri sebagai Royal Sulu Force (RSF) menceroboh secara berperingkat dari Pulau Simunul, Pulau Sibutu dan Pulau Sipangkut di selatan Filipina ke Kampung Tanduo.

Kemuncak pencerobohan berlaku dengan kejadian tembakan pada 1 Mac 2013 antara pasukan keselamatan dengan RSF di Tanduo.

Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram