
POLIS menahan empat lelaki disyaki menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dalam operasi bersepadu di Tapak Projek Silver Valley Technology Park, Kanthan Baru, Chemor di Ipoh, Perak pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tiga daripada empat lelaki itu daripada sebuah parti politik berusia antara 30 hingga 68 tahun dan seorang petani lelaki berusia 53 tahun.
Beliau berkata, pihaknya mengesan beberapa siri video tular di media sosial oleh sebuah parti politik memaparkan insiden semasa penguatkuasaan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 di tapak projek itu yang menarik perhatian masyarakat umum.
"Operasi bersepadu ini diterajui oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan disertai beberapa agensi serta badan berkanun kerajaan negeri, manakala polis daerah Ipoh berperanan menjaga keamanan sepanjang operasi dijalankan.
"Semasa operasi dilaksanakan pada kira-kira pukul 2.30 petang, sekumpulan petani dan ahli parti politik bertindak menghalang petugas PTG untuk menjalankan tugas penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dan pihak polis terpaksa melakukan tangkapan ke atas tiga lelaki (ahli parti politik) dan seorang lelaki (petani)," katanya.
Yahaya berkata, satu laporan polis turut dibuat berhubung tangkapan tersebut dan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Tangkap layar kejadian aktivis PSM itu dikasari oleh pegawai PTG di Kanthan, Tambun pada Selasa.
Menurutnya, kesemua suspek termasuk Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj diberi jamin polis setelah proses siasatan selesai.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menerima satu laporan polis daripada PTG berkenaan seorang perempuan dipercayai ahli parti politik berkenaan, bertindak menghalang kenderaan PTG semasa menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan operasi tersebut.
Menurutnya, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Operasi bersepadu ini berjaya dilaksanakan dan petani serta ahli parti politik yang berkumpul di kawasan operasi bersurai dengan aman pada pukul 2.45 petang," katanya.
Terdahulu, tular beberapa siri video memaparkan seorang individu dipercayai aktivis PSM cedera di muka selepas didakwa dikasari Pegawai PTG Perak berhubung isu petani di kawasan Kanthan, Parlimen Tambun, Ipoh, Perak pada Selasa.
Ahli Jawatankuasa PSM, R Karthiges dilaporkan mendakwa, kejadian berlaku ketika pihak PTG dan beberapa jentera berat hadir ke lokasi bagi bertindak mengusir enam petani di kawasan itu.
Insiden terbabit difahamkan berlaku semasa penguatkuasaan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dilaksanakan di tapak projek berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram