Aktivis PSM berlumuran darah, katanya dikasari pegawai PTG Ipoh


  • Massa
  • Selasa, 24 Okt 2023

Tangkap layar kejadian aktivis PSM itu dikasari oleh pegawai PTG di Kanthan, Tambun pada Selasa.

SEORANG aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) cedera parah di muka selepas didakwa dikasari Pegawai Pejabat Tanah dan Galian Perak (PTG) Ipoh berhubung isu para petani di kawasan Kanthan, Parlimen Tambun, Ipoh, Perak pada Selasa, lapor Malaysiakini.

Satu video menunjukkan aktivitis itu berlumuran darah di mulut dan hidungnya selain mengalami kecederaan teruk di gigi, kini tular di media sosial.

Ahli Jawatankuasa PSM, R Karthiges dilaporkan mendakwa, kejadian berlaku ketika pihak PTG dan beberapa jentera berat hadir ke lokasi bagi bertindak mengusir enam petani di kawasan itu.

Malangnya, situasi menjadi tegang ketika petani dan PSM bertindak untuk menghalang pihak PTG masuk ke kawasan pertanian bagi meneruskan pengusiran terhadap petani.

Susulan itu, seorang aktivis PSM, Chong Yee Shan telah ditolak dengan kasar sehingga jatuh ke bawah dan mengalami cedera di hidung.

Kartiges mendakwa, pada 13 Oktober lalu, enam daripada 200 petani telah menerima notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara mengatakan petani terbabit menduduki tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Katanya, notis tersebut mengarahkan petani untuk mengosongkan tanah kebun yang telah diusahakan mereka dalam tempoh tujuh hari kerana tanah itu merupakan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

"Petani di sini sebenarnya akur dengan arahan oleh pihak PTG dan rundingan mengenainya sudah pun dilakukan sebelum ini.

"Mereka cuma minta pihak kerajaan menawarkan kawasan alternatif selepas mengusahakan kawasan pertanian tersebit sejak sekian lama," katanya.

Majoriti sedang cuba mendapatkan reaksi daripada Pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Ipoh Perak berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram