MALAYSIA semakin menunjukkan kemajuan yang ketara dalam usaha mendigitalisasikan bidang tertentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah, pengaruh teknologi sebagai platform utama penyebaran informasi ketika ini begitu kuat sehingga ia mula melebar ke arena politik tanah air.
Pastinya kepimpinan parti politik sudah mula sedar peri pentingnya penguasaan teknologi dalam mempengaruhi sokongan rakyat terhadap mereka.
Terbaharu, PAS menjadi parti politik pertama di Malaysia yang membangunkan aplikasi pelbagai fungsi, MyOnePAS Super App.
Aplikasi mudah alih tersebut dilengkapi dengan kemudahan kad prabayar menggunakan Mastercard, memfokuskan ciri gaya hidup Islamik dan turut menyediakan waktu solat serta arah kiblat selain e-dompet.
MyOnePAS Super App yang dilancarkan pada Sabtu itu merupakan projek ke arah digitalisasi semua aktiviti berkaitan parti itu, termasuk urusan derma dan transaksi yang dibangunkan syarikat PAS, Pay Tech Sdn Bhd.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, aplikasi itu turut mempunyai kemudahan pembayaran bil, panduan solat dan aplikasi lain untuk kegunaan parti.
Menurutnya, ciri-ciri dalam aplikasi itu akan diperluas dengan SkimPas, Pasti, PasNews, PasPay, PasPoll, PasMonitor, PasApps, PasDeal, PasMoney, Pas Experience, Pas999 dan PasData.
Menariknya, super app itu bukan hanya tertakhluk kepada ahli parti sahaja, malah semua individu turut berpeluang untuk menggunakannya.
Meskipun MyOnePAS Super App adalah yang pertama dibangunkan oleh parti politik di negara ini, namun sebelum ini beberapa parti lain pernah juga mengadaptasi teknologi dalam wadah perjuangan mereka untuk mendekati rakyat.
Berikut Majoriti senaraikan tiga lagi aplikasi yang pernah dilancarkan kepimpinan parti tanah air.
1) PKR - Aplikasi Adil
Aplikasi Adil dibangunkan sempena Pemilihan Kepimpinan PKR 2022 pada Mei tahun lalu.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mac 2022 melancarkan aplikasi Adil sempena Pemilihan Kepimpinan PKR 2022 pada Mei tahun lalu.
Aplikasi itu diguna pakai untuk membolehkan anggota mengemas kini maklumat kendiri dan mula mendaftar untuk mengundi secara dalam talian semasa proses pemilihan parti.
Aplikasi itu boleh dimuat naik menerusi Apps store dan Google Play Store.
Pembangunan aplikasi itu membolehkan pemilihan parti pada 2022 berlangsung secara hibrid iaitu secara fizikal dan digital bagi memberi pilihan kepada 1 juta ahlinya.
2) PKR - Aplikasi CISTA
CISTA merupakan transformasi budaya politik negara untuk mengurangkan politik wang serta gejala rasuah dalam PRU15.
PKR sekali lagi memperkenalkan aplikasi CISTA menggunakan data sains dan matematik dengan mewajibkan setiap cabang menjalankan kempen pilihan raya terutamanya bagi mendekati pengundi atas pagar.
Jelas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, aplikasi itu merupakan transformasi budaya politik negara untuk mengurangkan politik wang serta gejala rasuah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Untuk rekod, CISTA sebenarnya sudah dilancarkan pada 2018 iaitu ketika PRU14, namun dihalang oleh Timbalan Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Rafizi berkata, setiap dapatan yang diperoleh daripada aplikasi itu akan menjadi senjata pilihan raya PKR.
Pendekatan baharu itu bertujuan melihat komitmen ketua cabang parti dalam berkempen dan mendekati pengundi di bawah.
Ketika itu, mereka perlu mempunyai sekurang-kurangnya 200 jentera (ejen tempat dan kira undi atau PACA) untuk berkempen.
Malah, semua ketua cabang PKR yang tidak mengerahkan jentera melaksana kempen dan aktiviti PRU15 menggunakan platform kempen baharu yang disediakan, bakal menerima 'surat peringatan' daripada parti.
3) GBM - Portal MY-ADUN
GBM pada Julai tahun ini melancarkan Portal MY-ADUN sempena PRN.
Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) pada Julai tahun ini telah melancarkan Portal MY-ADUN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Ogos 2023.
Ia dibangunkan oleh GBM bersama Persatuan Penduduk Petaling Jaya (MyPJ) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Portal tersebut menghimpunkan profil kesemua calon bagi negeri Selangor dari kesemua parti yang akan bertanding.
Pendekatan itu juga bertujuan memudahkan semua pengundi di negeri Selangor bagi menilai secara objektif setiap calon yang bertanding sebelum membuat keputusan untuk memilih calon dalam PRN.
Portal MY-ADUN memaparkan biografi semua calon serta latar belakang penglibatan setiap calon dari segi akademik, sosial serta politiknya, sama ada daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) (PH-BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ataupun Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ia turut memaparkan segala bentuk berita yang ada berkenaan calon-calon tersebut daripada sumber-sumber berita yang sahih, tanpa mengira sama ada berita bersifat positif ataupun negatif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram