SARAWAK masih lagi berdepan isu kekurangan guru hingga mencecah kira-kira 3,000 orang ketika ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri sedang berunding dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengatasi masalah tersebut.
Menurutnya, tumpuan juga akan diberikan kepada anak jati Sarawak yang boleh dilatih untuk menjadi tenaga pengajar di negeri itu.
"Kita sekarang ini masih berunding dengan KPM bagi mewujudkan Maktab Perguruan di Sarawak dan universiti di negeri tersebut untuk memberikan pengajaran dalam bidang perguruan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Town Hall Agenda Sarawak #tanyakAbangJo yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Sabtu.
Town Hall yang dikendalikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli sebagai moderator itu dianjurkan sempena Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2023.
Abang Johari
Mengulas lanjut mengenai kekurangan penyertaan anak Sarawak dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Abang Johari tidak menafikan bahawa segelintir pelajar negeri itu masih lemah dalam bidang sains.
Berdasarkan kajian, beliau mendapati antara punca kurangnya minat pelajar dalam subjek itu adalah disebabkan kebanyakan sekolah menengah yang bukan aliran sains terutamanya di kawasan luar bandar tidak dilengkapi dengan makmal.
Ujarnya, ia sekali gus menyukarkan mereka untuk menguasai aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Kementerian Pendidikan Sarawak sememangnya menekankan tentang pendidikan TVET. Tetapi kita sangat lemah dalam subjek sains.
"Pelajar hanya belajar daripada buku teks, jadi anak kita tidak begitu memahami subjek Fizik, Kimia dan Biologi serta jurusan yang berteraskan sains.
"Apabila mereka tidak mempunyai pengalaman secara praktikal, mereka tidak begitu mahir dalam subjek tersebut," jelasnya,
Abang Johari bagaimanapun berkata, beliau telah membawa isu berkenaan untuk dibincangkan ke peringkat kerajaan pusat.
"(Kita berharap) sekolah-sekolah baharu dapat dilengkapi dengan makmal supaya pelajar boleh belajar subjek sains.
"Sementara itu kita juga akan membangunkan makmal yang boleh digunakan oleh semua sekolah dalam daerah dan kerajaan Sarawak sendiri yang akan membiayainya.
"Kita dah tak boleh lagi tunggu Kerajaan Persekutuan sebab kadang-kadang lambat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram