31 kes keracunan makanan dilaporkan setakat September di Perak


  • Primer
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Pemantauan secara berkala turut dilakukan unit inspektorat bersama bahagian keselamatan dan kualiti makanan bagi memastikan pengusaha di Perak mematuhi undang-undang. — Gambar hiasan

SEBANYAK 31 kes keracunan makanan dilaporkan berlaku di Perak sepanjang tempoh Januari hingga September 2023.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Sirajuddin Hashim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes melibatkan institusi pendidikan, lima kes membabitkan kediaman persendirian manakala bakinya, terdiri daripada pelbagai kategori.

"Kesemua kes yang dilaporkan itu tidak melibatkan kematian atau keracunan serius sebaliknya hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

msg1050426791-17821

Program Program Apron Walk sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2023 di Taman Rekreasi Sultan Aziz di Ipoh, Perak pada Sabtu. — Bernama

"Walaupun statistik itu menunjukkan kadar rendah di Perak namun kita akan terus meningkatkan usaha pencegahan terutama di institusi pendidikan kerana golongan ini berisiko dan sering terdedah dengan masalah ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Apron Walk sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2023 di Taman Rekreasi Sultan Aziz di Ipoh, Perak pada Sabtu.

Dr Sirajuddin berkata, pemantauan secara berkala turut dilakukan unit inspektorat bersama bahagian keselamatan dan kualiti makanan untuk memastikan para pengusaha makanan di Perak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Pemantauan dilakukan secara berkala dan sekiranya berlaku perlanggaran daripada garis panduan yang ditetapkan maka tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada para pengusaha makanan ini,” katanya.

Sementara itu, katanya seramai 300 peserta terdiri di kalangan pengusaha makanan, kakitangan kesihatan dan masyarakat sekitar telah menyertai program yang berlangsung pada Sabtu.

Katanya, objektif utama program tersebut dianjurkan adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat berkaitan kepentingan memilih makanan berkualiti dan mematuhi standard ditetapkan bagi mengelak daripada dijangkiti pelbagai penyakit yang berpunca daripada makanan.

"Selain itu, program ini turut melibatkan pembukaan reruai saringan kesihatan serta galeri pameran sebagai pengetahuan kepada masyarakat mengetahui pelbagai penyakit termasuk yang berpunca daripada keracunan makanan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram