[VIDEO] Niat nak bantu orang, 3 Muslimat PAS Sungai Petani kena rempuh di Behrang


  • 112
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Tragedi kemalangan itu berlaku ketika mangsa mahu menyelamatkan mangsa kereta lain yang terlibat dalam kemalangan di Behrang pada Jumaat.

TIGA Perwakilan Muslimat PAS Kawasan Sungai Petani maut dirempuh di Kilometer 390 Lebuh Raya Utara-Selatan di Behrang, Perak pada Jumaat.

Mangsa yang terkorban ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61; Ketua Ameerah PAS Sg. Petani, Nor Fatihah Nabilah Bukri, 23, dan Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Nurul Najihah Amzi, 27.

Nurul Najihah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River manakala dua yang lain maut di tempat kejadian.

Kes itu dikongsikan di Facebook menerusi hantaran yang di dimuat naik Facebook Pemuda PAS Sungai Petani dan PAS Kawasan Merbok pada Jumaat.

Perkongsian itu memaklumkan, pada mulanya, ketiga-tiga mangsa keluar daripada kereta untuk membantu sebuah kereta lain yang terlibat dalam kemalangan.

Malangnya, mereka dirempuh daripada belakang oleh sebuah kereta berwarna putih sehingga impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa maut.

Katanya, dua individu lagi terselamat kerana tidak keluar daripada kereta pada masa kejadian.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa sempat mendengar ucapan dasar Presiden PAS dalam muktamar tahunan parti tersebut pada Jumaat.

Semasa kejadian berlaku, mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Muktamar PAS di Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, berdasarkan siasatan di lokasi, sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dari Kuala Lumpur menghala ke Kedah, hilang kawalan lalu berpusing dan terbalik di longkang kiri jalan.

"Kemudian, tiga wanita yang juga ahli Dewan Muslimat PAS Sungai Petani yang menaiki kereta jenis Toyota Fortuner berhenti di lorong kecemasan untuk memberikan bantuan kepada pemandu Mitsubishi Triton itu.

"Turut berhenti di laluan kecemasan berkenaan adalah motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang seorang lelaki berusia 42 tahun; motosikal Honda EX5 (ditunggang lelaki berusia 46 tahun) dan kereta Perodua Myvi (dipandu lelaki berusia 31 tahun) bagi menghulurkan bantuan.

"Kira-kira lima minit kemudian, sebuah kereta jenis Toyota Altis dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah yang sama di lorong kanan, tiba-tiba hilang kawalan lalu terlanggar tiga wanita dan tiga lelaki tadi hingga kesemua mangsa terhumban ke dalam longkang di kiri jalan," katanya dalam kenyataan.

Mohd Hasni berkata, kemalangan terbabit mengakibatkan Fatihah Nabila dan Taibah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Nurul Najihah meninggal dunia di Hospital Slim River ketika menerima rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram