[VIDEO] Lelaki pura-pura beli sebelum larikan rantai emas RM58,000 di Temerloh


  • 112
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Tangkap layar CCTV memaparkan seorang lelaki yang pada awalnya pura-pura membeli sebelum larikan rantai emas di Temerloh, Pahang pada Jumaat.

SEORANG lelaki bertindak nekad melarikan seutas rantai emas RM58,000 ketika berpura-pura membelinya di sebuah kedai emas di Mentakab, Temerloh, Pahang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu suspek yang datang seorang diri ke dalam kedai berkenaan duduk di kaunter dan berpura-pura ingin membeli barang kemas.

“Suspek mencuba seutas rantai leher berharga RM20,000 sebelum meminta pengadu mengeluarkan rantai leher yang lebih besar dan pengadu memberikan seutas rantai leher berharga RM58,000.

“Suspek kemudian menyerahkan semula kedua-dua utas rantai sebelum meminta pengadu menyerahkan rantai leher berharga RM58,000 semula dan sebaik pengadu serahkan suspek terus mengambil rantai leher berkenaan dan berlari keluar dari kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda City menggunakan nombor pendaftaran palsu yang diletakkan di tempat letak kereta sebelah kiri hadapan kedai.

Sementara itu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan siasatan dilakukan secara menyeluruh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram