[VIDEO] Kereta SUV diesel meletup punca parkir bertingkat terbakar, 1,200 kenderaan terjejas di lapangan terbang


  • Benua
  • Khamis, 12 Okt 2023

Tangkap layar kejadian kereta terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Luton London yang mengakibatkan bangunan parkir runtuh pada Selasa.

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Luton di London, Britain menggantung semua penerbangan susulan kejadian kebakaran yang disyaki berpunca daripada kereta terbakar.

Insiden itu menjadi besar hingga mengakibatkan salah satu bangunan parkir bertingkat runtuh dan semua penerbangan digantung hingga pukul 3 petang (waktu tempatan).

Namun, tiada sebarang kematian direkodkan menerusi kejadian yang pertama kali dilaporkan kepada perkhidmatan kecemasan, pada petang Selasa.

Gambar lokasi kejadian menunjukkan api besar menyambar struktur berhampiran terminal lapangan terbang.

Pihak lapangan terbang menerusi aplikasi X berkata, keutamaan pihaknya ketika ini adalah membantu perkhidmatan kecemasan serta memastikan keselamatan penumpang dan kakitangannya terjamin.

“Keutamaan kami tetap untuk membantu perkhidmatan kecemasan dan keselamatan penumpang serta kakitangan kami.

"Oleh itu, kami kini mengambil keputusan untuk menangguhkan semua penerbangan sehingga pukul 3 petang Rabu,” tulisnya.

Sebelum ini, arahan penggantungan itu ditetapkan hingga pukul 11 pagi.

WhatsApp Image 2023-10-12 at 7.38.55 PM

Anggota bomba memadamkan kebakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Luton di London yang menyebabkan sebahagian daripada struktur tempat letak kereta runtuh pada Selasa.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat tempatan berkata, kira-kira 1,200 kenderaan dianggarkan berada di tempat letak kereta ketika kejadian.

Bomba dan Penyelamat Bedfordshire berkata, punca kebakaran itu berpunca daripada letupan sebuah kereta diesel iaitu daripada jenis Range Rover, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

"Kami tidak percaya ia berpunca daripada kenderaan elektrik.

“Ia dipercayai daripada kenderaan SUV yang dikuasakan oleh diesel, pada masa ini semua tertakluk kepada pengesahan," kata Andrew Hopkinson, ketua pegawai Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Bedfordshire.

Sementara itu, perkhidmatan ambulans berkata, empat anggota bomba dan seorang anggota kakitangan lapangan terbang telah dibawa ke hospital.

WhatsApp Image 2023-10-12 at 7.49.43 PM

Keadaan Lapangan Terbang Antarabangsa Luton, London selepas insiden berlaku pada Rabu.

Lapangan terbang itu adalah yang kelima paling sibuk di Britain selepas Heathrow, Gatwick, Stansted dan Manchester dengan ia mengendalikan kira-kira 13.3 juta penumpang pada 2022, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Penerbangan yang beroperasi dari lapangan terbang Luton, EasyJet Britain berkata, syarikat penerbangan itu mengalami beberapa gangguan pada program penerbangan mereka.

Ryanair dan Wizz Air berkata, penumpang yang terjejas akan dihubungi secepat mungkin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram