RUSIA pada Khamis menghadapi serangan besar-besaran terhadap sistem tempahan pengangkutan udaranya, Leonardo sehingga mencetuskan kelewatan jadual melibatkan syarikat pengendali penerbangan utama di negara tersebut.
Syarikat penerbangan utama Rusia, Aeroflot berkata, serangan berbentuk Penafian Perkhidmatan Teragih (DDoS) itu mengakibatkan kelewatan sehingga satu jam untuk pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow.
Menurut Interfax, anak syarikat Aeroflot Rossiya Airlines melaporkan kelewatan yang samaberlaku di Sheremetyevo.
Kurang sejam selepas serangan siber itu dilaporkan, konglomerat pertahanan dan perindustrian Rusia Rostec berkata, ia berjaya memulihkan sepenuhnya fungsi sistem Leonardo.
Bagaimanapun, di sebalik pemulihan dilaksanakan, Interfax yang memetik sumber menyatakan terdapat beberapa gangguan masih berlaku terhadap sistem berkenaan di tempat tertentu.
Rostec berkata, serangan DDoS besar-besaran itu juga datang dari luar negara, namun pihaknya gagal mengenal pasti lokasi sebenar punca serangan.
Konglomerat pertahanan itu berkata, sistem Leonardo berhadapan dengan puluhan kes serangan siber 'berskala besar dan tidak pernah berlaku sebelum ini' sejak beberapa bulan lalu.
"Adalah jelas bahawa perang siber sebenar sedang dilancarkan terhadap negara ini, yang matlamatnya adalah untuk merosakkan infrastruktur IT Rusia dan mengganggu industri kritikal," kata Rostec. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram