[VIDEO] Polis berkas lelaki tampar pemuda 6 kali kerana lampu 'high beam'


  • 112
  • Khamis, 19 Okt 2023

Tangkap layar video tular memaparkan suspek bertindak menampar mangsa dalam kejadian di Jalan Danau Niaga 1, Taman Danau Kota, Setapak.

POLIS menahan seorang lelaki berusia 55 tahun yang bertindak menampar seorang pemuda di Jalan Danau Niaga 1, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur seperti tular di sosial media sejak Rabu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang merupakan warga tempatan dan rakannya yang masing-masing berusia 19 tahun pada 14 Oktober lalu.

Dalam kejadian tersebut, beliau berkata, suspek bertindak agresif dengan menyerang mangsa termasuk merampas dan membaling telefon bimbit milik rakan pengadu sehingga mengalami kerosakan.

"Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian mulut dan di bahagian leher manakala rakan mangsa mengalami luka di bahagian mulut," katanya dalam satu kenyataan.

Ashari berkata, siasatan lanjut mendapati punca kejadian pergaduhan adalah akibat perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, suspek yang merupakan warga tempatan ditahan sekitar pukul 11.30 pagi pada 16 Oktober lalu di Jalan Prima Setapak 4, Setapak, Kuala Lumpur.

Ujar beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Dengan sengaja menyebabkan cedera) dan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Melakukan khianat).

"Pihak polis telah selesai menjalankan siasatan. Kertas siasatan telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya pada Khamis dan arahan untuk pertuduhan sudah pun diterima. Suspek akan dituduh dalam masa terdekat," ujarnya.

Video mengenai insiden tersebut tular selepas ia dikongsikan sendiri oleh teman wanita mangsa di Facebooknya pada Rabu.

Menurut hantaran berkenaan, lelaki terbabit didakwa bertindak menampar mangsa dan rakannya sebanyak enam kali kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan pemuda itu menggunakan lampu tinggi pada kenderaan sehingga menganggu penglihatan suspek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram