Kes pukul di Miri, polis panggil remaja lepas video gaduh tular


  • 112
  • Isnin, 16 Okt 2023

Tangkap layar kejadian sekumpulan remaja bergaduh di hadapan rumah yang berlaku di Miri pada Ahad.

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri akan memanggil sekumpulan remaja selepas video pergaduhan mereka dimuat naik di Facebook.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, selepas pihaknya menerima satu laporan kira-kira pada pukul 11.33 pagi Ahad berkaitan rakaman video berdurasi 19 saat itu, yang menunjukkan pergaduhan sekumpulan remaja terbabit di halaman sebuah rumah.

“Semakan ke atas rakaman video tersebut telah dibuat dan individu-individu di dalam video tersebut telah dikenal pasti.

“Kesemua individu terbabit akan dipanggil untuk tampil ke Balai Polis Pusat Miri, Sarawak bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, punca pergaduhan masih belum dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Justeru, Alexson mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu sensitif di media sosial kerana ia boleh menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat tempatan serta mengganggu siasatan pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram