Wanita temui 2 rangka manusia bersama cebisan bendera Perak atas bumbung dekat Sitiawan


  • 112
  • Selasa, 17 Okt 2023

Rangka tersebut dihantar ke unit forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat. — Gambar hiasan

DUA rangka manusia ditemukan di atas bumbung bangunan bersebelahan, sebuah bank di Sitiawan, Ipoh, Perak pada pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan penemuan itu pukul 10.20 pagi.

"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian telah menjumpai dua rangka manusia tanpa jantina dan identiti serta sehelai bendera Perak, beberapa potongan salotip berwarna hitam, cebisan kain bercorak warna-warni dan cebisan kain bendera Perak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, turut ditemukan di lokasi tersebut ialah cebisan baju kotor kemeja putih, sarung bantal biru, bungkusan plastik merah berisi, disyaki tengkorak manusia setiap satu dan sebilah pisau berhulu plastik hitam.

Katanya, rangka tersebut dihantar ke unit forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung ASP Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram