Kes bunuh pemilik 'car wash', pekerja rencam terlepas hukuman gantung


Tertuduh berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan membunuh dan hukuman mati.

SEORANG pekerja rencam terlepas tali gantung atas pertuduhan membunuh seorang pemilik kedai cuci kereta yang mayatnya ditemukan ditanam di tanah perkuburan hampir lima tahun lepas pada Khamis.

Ini selepas S. Soosai, 34, berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan membunuh dan hukuman mati.

Ketika membenarkan rayuan Soosai, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan tiada bukti langsung atau keterangan mengikut keadaan bahawa Soosai telah menyebabkan kematian B. Sugumaran, 32.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Hakim Hadhariah berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam Soosai, Afifuddin Ahmad Hafifi iaitu tidak diketahui apakah maklumat sebenar yang diberikan Soosai kepada polis.

Beliau berkata, tindakan Soosai menunjukkan lokasi mayat itu ditanam tidak bermakna dia telah menyebabkan kematian mangsa.

Hakim Hadhariah yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah, memutuskan sabitan Soosai bagi pertuduhan membunuh adalah tidak selamat.

Pada 17 Feb 2020, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman mati ke atas Soosai selepas didapati bersalah membunuh Sugumaran, 34, di perkuburan Kristian di Kampung Saga Rantau, Port Dickson, Negeri Sembilan antara 6 petang, 13 Sept 2017 dan 6.30 petang, 11 Nov 2017.

Berdasarkan kes pendakwaan, mangsa dilihat mengikuti dua lelaki menaiki kereta pada 13 Sept 2017 dan susulan itu abangnya membuat laporan polis keesokan harinya selepas dia gagal dihubungi dan ditemui.

Pada 6 Nov 2017, polis menahan Soosai dan semasa soal siasat, dia kononnya memberi maklumat mayat mangsa berada di kawasan tepi laut. Selepas membawa polis ke tempat itu, Soosai kononnya memberi maklumat lain kepada polis, dengan menyatakan mayat mangsa sebenarnya ditanam di perkuburan Kristian.

Pasukan polis kemudiannya pergi ke tanah perkuburan tersebut dan menemukan rangka si mati selepas Soosai menunjukkan lokasi di mana ia ditanam.

Analisis DNA telah dijalankan oleh seorang ahli kimia dan mengesahkan rangka itu ialah Sugumaran.

Soosai, yang memberi kenyataan tidak bersumpah menafikan dia memberitahu polis bahawa mayat mangsa ditanam di kawasan perkuburan atau telah membunuh si mati.

Soosai berkata, dia tidak mempunyai motif untuk membunuh si mati kerana dia tidak mengenalinya atau bertemu dengannya. Katanya dia memberikan maklumat mayat mangsa ditanam di Pantai Chuah kerana tidak tahan diugut dan dipukul polis.

Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke yang hadir bagi pihak pendakwaan berhujah bahawa keterangan terhadap Soosai adalah mengikut keadaan kerana beliau mempunyai pengetahuan di mana mayat itu ditempatkan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram